Bisikan Tetangga di Pagi Syawal

Menelusuri hari-hari yang berjalan seiring waktu,terkadang berhenti di titik saat yang membimbangkan. Langkah ini terlalu meragukan kerana dibawa rasa rimas, risau dan kacau. Entah apa yang membelenggu pemikiran dan hal ini ulang siar di ingatan. Di sebalik kegusaran, Ramadan yang tiba kali ini sungguh indah dan syahdu. Di penghujung kemeriahannya pula akan disambut dengan keriangan Hari Raya Aidilfitri. Ramadan adalah bulan pengampunan dan menguji kesabaran setiap hamba-Nya untuk terus istiqamah melawan nafsu lapar, dahaga dan dari segala kemungkaran bermula terbit fajar hingga terbenam matahari. Setelah berjaya melalui Ramadan, maka Hari Raya Aidilfitri diandaikan sebagai simbolik kemenangan berpuasa selama sebulan. 


Menjelang Ramadan dan Hari Raya, persiapan setiap insan pasti berbeza-beza aturannya. Dalam kesibukan orang lain mempersiapkan diri di Hari Raya Aidilfitri, terdapat kegusaran yang jelas di wajah Armin. Dia sama sekali tidak mempersiapkan diri untuk Hari Raya yang bakal menjelma, malahan puasanya juga sering ketinggalan. Dia tidak bersedia menghadapi Hari Raya bukan kerana dia tidak memahami maksud Hari Raya diraikan, akan tetapi dia tidak bersedia untuk berhadapan dengan masyarakat sekeliling. Ziarah-menziarahi jiran tetangga yang sepatutnya mengeratkan hubungan silaturrahim antara manusia, namun amalan tersebut menjadi laluan untuk mereka bercerita tentang aib dan menyebarkan hina dina pesakit mental pada pandangan masyarakat. Walhal yang merasa dan melalui bukanlah mereka. Mereka cuma mengandaikan semua cerita dan mewajarkan kisah tersebut mengikut logik masyarakat dengan sifat mementingkan diri sendiri. Stigma ini memburukkan lagi keadaan pesakit mental dan kemerosotan perkembangan mental akan berlaku. 


Umum mengetahui, setiap pesakit mental akan dibekalkan ubat yang perlu dimakan untuk suatu tempoh atau seumur hidup. Pelbagai jenis ubat-ubatan yang diberikan kebiasaannya akan memberi kesan sampingan kepada pesakit. Perkara ini yang harus dilalui dan ditempuhi sebagai lontaran hebat pesakit mental. Ubatan jenis trisiklik kadang kalanya menyebabkan pesakit menggeletar kerana terdapat gangguan bahan kimia pada sel otak manusia. Bagi pesakit mental ia adalah simtom yang normal, tetapi tidak pada pandangan masyarakat. Jiran tetangga akan berbisik, menghujah segala fakta dan dicambahkan pendapat mereka dengan menganggap pesakit tersebut dalam kondisi ketagihan. Hal ini menjadi dilema kepada pesakit mental sama ada ingin mengambil ubatan tersebut sebagai rawatan mental atau menolak ubat tersebut impak takutnya pada kesan sampingan. Mengawal kesan sampingan bukanlah mudah, rentetan ia berkaitan dengan saraf pada sel otak tubuh manusia. Armin selalu mengawal, mencuba sedaya upaya agar dia dapat membatasi kesan sampingan tersebut tetapi sering kali gagal. Sementelahan itu, dia juga menjadi semakin takut mendepani masyarakat sekeliling yang akan menghujat dia dengan pelbagai andaian negatif. Paling tidak, dia akan menyendiri dan tidak mahu bersemuka dengan orang yang datang berkunjung pada Hari Raya di rumah keluarganya. 


Benarlah sabda Rasullullah s.a.w, hendaklah kita berkata baik atau diam. Daripada sibuk membicarakan perihal orang lain yang tidak pernah kita berdiri sekasut dengannya. Bertepatan kata pepatah jangan menilai buku dari kulitnya kerana di setiap halaman buku tersebut mungkin banyak mengandungi ilmu yang berguna. Menilai pesakit mental dengan persepsi negatif tanpa mengetahui latar belakang dan asal-usul mereka adalah salah sama sekali. Ada dalam kalangan mereka juga terlahir bijak dan tergolong dalam golongan para cendekiawan, malahan berilmu tinggi seiring dengan kemajuan teknologi. Armin juga begitu orangnya. Bak kata pepatah diam-diam ubi berisi. Personalitinya pendiam namun apabila berhujah dan memberi pandangan, keupayaan intelektual dan kepetahan Armin menyerlah. Sakit mental yang dilaluinya tidak membataskan kemampuan dan kebijaksanaan Armin. 


Kini, di zaman kontemporari, dunia banyak berubah dan menyaksikan pembaharuan semakin membangun dengan pesat. Malangnya, pemikiran manusia sejagat masih jauh ketinggalan dengan amalan dan budaya canang-mencanang sesama jiran tetangga. Mewujudkan stigma yang membatasi pengadang antara pesakit mental dengan masyarakat di sekeliling, adalah salah satu faktor penyebab kesihatan mental tidak dapat dipulihkan. Hapuskan stigma yang mengelirukan masyarakat dan berikan sokongan penuh bagi pesakit yang berusaha untuk pulih. Masyarakat perlu cakna dalam isu kesihatan mental agar mereka yang mengalami masalah mental tidak berasa keseorangan dalam perjuangan mereka untuk pulih sepenuhnya. Sebagai sahabat akrab Armin, aku akan menjadi tulang belakang yang akan sentiasa memberi sokongan penuh buat Armin. Mencegah lebih baik daripada mengubati. Maka, menjadi tanggungjawab kita sebagai sebuah komuniti yang prihatin untuk mengelakkan masalah mental ini semakin melarat jauh dan dekatkan mereka pada normalisasi kehidupan seharian. 


Hasil penceritaan : Hartini 


Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shopping Basket
Scroll to Top