Kata orang, Aidilfitri patut diraikan sehabis hati setelah sebulan merasa lelahnya menahan nafsu makan dan minum. Entahlah, mungkin ada betulnya juga. Cuma pernah di suatu waktu, hati ini tidak merasakan keperluannya.
Aku anak sulung yang menyerap segala kekurangan ibu bapa yang pertama kali memiliki cahaya mata. Aku diajar memikul segala kesilapan adik seawal usiaku lima tahun atas alasan, ”kakak mesti menjaga adik”. Aku dididik untuk tidak menangis kerana, ”anak sulung harus kuat”. Aku baik-baik sahaja dengan semua itu.
Menjelang hari raya, aku pakai apa-apa sahaja yang dibelikan oleh mama tanpa sedikit pun membantah memandangkan aku faham kehidupan kami sederhana sahaja. Pernah aku diejek oleh seorang guru pada usiaku 10 tahun sewaktu aku dan rakan-rakan beraya ke rumahnya.
”Aliya, cuba tengok kakak-kakak dan abang datang beraya ni. Ada empat orang kakak dan seorang abang,” guru tersebut memanggil anaknya yang baru pandai bertatih. Kulihat sekeliling sambil bermonolog dalaman sendirian, ‘abang? Siapa abang tu?’ Aku mula memandang kemeja yang kupakai. Aku tahu mungkin itulah yang paling mampu mama belikan untukku dan adik ketika itu. Jauh di sudut hati aku tetap merasakan mahalnya kemeja itu. Rakan-rakan yang lain mula ketawa. Aku makin mengerti dan tersenyum sendiri. Aku baik-baik sahaja dengan semua itu.
Tanpa kusedari, itulah kali terakhir aku mengunjungi rumah orang lain sewaktu lebaran. Aku lebih selesa dan tenang beraya di rumah sahaja, menanti tetamu.
Diri ini bersifat pendiam dan bercakap hanya di saat perlu. Bukan menyombong diri, namun sedari azali, sekadar menjaga lidah daripada mengguris hati. Tapi seperkara yang aku terlupa, aku tidak menjaga hatiku sendiri. Yang lebih kuutamakan, setiap hal tentang orang lain. Kata bidalan, setajam bilah pisau, tajam lagi lidah manusia. Maka, segala duri lisan yang menyucuk ke hati kucabut dan biarkan sahaja lukanya di situ. Bukankah “anak sulung harus kuat”? Masih lagi aku baik-baik sahaja dengan semua itu.
Aku anak yang menjadi saksi terlerainya sebuah ikatan suci yang terbina atas dasar cinta. Menyaksikan seorang ibu melaluinya dengan penuh kekuatan, memberikan impak yang besar kepada diri ini. Bukan mudah untuk kufahamkan adik-adik bahawasanya segala yang kita miliki bersifat sementara semata-mata. Segala tanggung jawab papa selama ini, berpindah dan menguatkan pundakku tanpa sempat aku bersedia sebaik sahaja papa memilih untuk keluar dari rumah. Ada ketikanya, aku dituduh tidak memahami sedangkan aku cuba sedaya upaya memahami setiap sisi kecuali diriku sendiri. Mungkin kerana aku dilihat baik-baik sahaja dengan semua itu.
Aidilfitri pertama tanpa papa di pagi Syawal sangatlah janggal. Mana tidaknya, kami dibawa bercuti ke Bangkok oleh mama buat pertama kalinya. Orang lain menikmati ketupat dan rendang, menu raya kami hanyalah roti di bilik hotel. Aku faham, mama mahu kami melupakan kesedihan dan gembira seperti biasa. Aku dilihat baik-baik sahaja dengan semua itu.
Tanpa kusedari, banyak peristiwa yang telah mengejutkan pelbagai faktor pencetus yang selama ini tidur bertahun-tahun. Pada mulanya kusangkakan serangan asma sedangkan aku tidak pernah mempunyai sejarah serangan asma sejak kecil. Suasana bising dan kelompok ramai seringkali menyesakkan dadaku. Aku semakin hilang arah dan mula menjauhkan diri daripada semua. Setiap kali Ramadan menuju ke penghujungnya, aku pasti berasa kurang selesa dan panik. Hari raya yang sepatutnya menjadi hari yang menggembirakan, sering meletakkanku dalam perasaan serba salah yang amat dalam. Aku tidak lagi baik-baik sahaja dengan semua ini.
Papa akan berkunjung ke rumah sama ada pada hari raya pertama atau ketiga. Kehadirannya tidak berseorangan tetapi bersama dua orang anaknya daripada perkahwinan baru. Sebagai seorang anak yang masaku lebih banyak bersama mama, sesekali aku teringin meluangkan masa bersama papa dengan selapang dada. Jadi, rayalah masanya. Sayangnya, bagaikan dua ekor gajah berjuang, seekor kancil mati tersepit di tengah. Lebihkan yang di sini, yang di sana terasa hati. Lebihkan yang di sana, yang di sini berdukacita. Ternyata, aku tidak lagi baik-baik sahaja dengan semua ini.
2019 aku mulakan sesi terapi bersama psikologis di sebuah hospital swasta setelah bertahun-tahun dipujuk oleh sahabat baikku. Akhirnya, aku didiagnosis dengan Major Depressive Disorder (MDD), Kecelaruan Kebimbangan yang melampau (severe Anxiety Disorder) dan Kecelaruan Stres Pascatrauma (Post-Traumatic Stress Disorder). Aku menerima bantahan daripada keluarga yang bersungguh-sungguh mengatakan selama ini aku baik-baik sahaja. Kata mereka, tidak pernah sekali pun aku menampakkan sisi murungku. Buat pertama kalinya dalam hidupku, aku bertegas dan berkeras untuk meneruskan terapi. Aku mahu sihat! Aku yakin, aku akan sihat!
Aku diberikan banyak kaedah yang bersesuaian dengan kemampuanku. Dua tahun yang pertama, di tanganku sentiasa kugenggam rantai kunci berbentuk sebiji Lego. Setiap kali faktor pencetus mula menyesakkan minda dan dada, jemariku akan segera menyentuh dan menjamah setiap inci dan lekuk biji Lego tersebut sambil cuba menyebut setiap satu permukaan Lego yang tersentuh pada jemari. Kenapa Lego? Lego merupakan antara alat yang mampu membuatkan mindaku kembali fokus dan tenang sekali gus meredakan suicidal thought yang menjengah. Selain Lego, permainan susun suai gambar dan rubic cube turut membantu.
Sehingga ke hari ini aku masih menjalani terapi di bawah pemantauan psikologis yang sama. Dari seminggu sekali, beralih ke dua minggu sekali, tiga minggu sekali, sebulan sekali dan kini dua bulan sekali. Aku bangga berjaya melakukannya walaupun jalannya tidak semudah disangka. Aku bangga kerana bertegas dengan sesuatu yang aku fikirkan terbaik untukku.
Lebaranku kini lebih bermakna walaupun tidak lagi sempurna.