Azam Ramadan

Hari demi hari, beginilah aku ditemani dengan tangisan. Tangisan yang melemahkan dan menyakitkan. Persoalannya, sampai bila aku dapat melupakan peristiwa ini? Sampai bila aku perlu termakan dengan emosiku sendiri? Aku penat ya Allah. Engkau sahaja yang tahu apa yang ada di dalam hatiku.

 

Aku memujuk diriku sendiri, “wahai diri berhentilah menangis. Carilah pelangi di seberang sana.” Aku tidak mengerti kenapa perasaan aku begini. Antara pukul tiga hingga empat pagi, aku dikejutkan oleh mimpi tersebut. Aku tak gila! Aku tak gila! Aku tak buat. Beginilah keadaan aku selepas diperlekehkan, terasa diri ini terlalu hina di mata seorang yang pernah aku anggap sebagai kawan.

 

Aku tak buat perkara itu. Dia sendiri yang menyakiti diri sendiri, tidak pernah fikir kesalahan diri sendiri. Sungguh aku tak buat perkara itu. Bukan aku yang buat laporan tersebut. Aku melarikan diri sebab aku lelah dengan sikapnya. Aku fikir dengan menjarakkan diri ia menjadi keputusan terbaik tapi keputusan itu amat menyakitkan.

 

Setiap hari aku menangis. Setiap tangisan aku sentiasa berdoa supaya dia diberikan petunjuk dan hidayah. Tak lupa juga doa untuk aku supaya diberi kekuatan dan perlindungan daripada kejahatan.

 

Aku memaksa diri mencari semula kekuatan yang hilang. Watak aku berubah.  Aku tidak tahu di mana perwatakan ceria aku yang dahulu. Aku tenggelam dengan rasa kehidupan yang suram. Aku betul-betul diuji mencari jalan. Yang pernah hadir dan singgah dalam hidup sememangnya sangat sukar dilepaskan. Aku mula belajar menyerah diri dengan menyerah mereka kepada tuhan. Mereka milik tuhan, bukan milikku. Itulah perkataan yang aku titipkan di atas kertas. Digumpal dengan penuh perasaan dan dilontarkan ke dalam bakul sampah.

 

Aku mula mengasingkan diri tapi satu persatu tekanan yang datang. Mereka buat aku serba tak kena. Mengungkit kebaikan yang diberikan. Aku mendiamkan diri tanpa kata kata. Aku sendiri tak tahu nak buat apa. Semakin hari badan aku semakin lemah.  Fikiran aku semakin penat. Dihimpit lagi dengan mimpi setiap malam membuat fikiran aku tak tentu arah. Sampai bila aku nak berlakon di hadapan semua orang?

 

Semakin hari berat badan aku semakin susut. Aku cuba melarikan diri. Aku mohon supaya ditukarkan ke jabatan lain tapi tidak berjaya. Aku penat dengan fikiran aku sendiri. Sampai bila aku perlu dihantui mimpi ini?

 

Aku cuba belajar membenci mereka tapi tidak boleh. Aku tidak tahu dari mana datangnya sifat kasih sayang ini? Pelbagai tanda tanya bermain di fikiranku. Aku tiada pilihan dan tiada jalan. Aku menyerah diri dan mendapatkan rawatan di klinik psikiatri. Antara kami semua tiada siapa yang mengetahui.

 

Suatu hari, ditakdirkan sesuatu peristiwa berlaku.  Ketika kami bermain dalam satu kumpulan, fikiran aku menjadi kosong apabila aku melihat namanya.  Aku tulis perkataan “teruk” seperti mana aku tulis kepada diriku sendiri. Sekali lagi aku dihentam, aku dihina serta aku didoakan ke psikiatri. Inilah insan yang pernah aku anggap kawan.

 

Daripada kejadian itu, aku belajar betul betul untuk melepaskan. Melepaskan itu perit kerana memerlukan tenaga dan sistem sokongan. Aku cuba belajar melalui kata-kata salah seorang antara kami. “ mereka bukan kawan aku, aku kenal di sini”. Aku belajar untuk tidak meletak manusia di hati, tetapi menempatkan Allah sekemas-kemasnya di dalam lubuk hati.

 

Berbulan-bulan aku merasai keperitan. Tipulah kalau tiada perasaan. Perasaan tak boleh menipu. Kalau memori itu datang mesti aku menangis. Dijadikan cerita, aku dipertemukan semula dengan sahabat buku 2022. Beliau bersamaku ketika susah dan senang. Pertemuan ini sangat dihargai dan bermakna. Di saat aku mula bangkit, aku diperkenal dan dipimpin oleh penulis buku dalam group Tumbuh. Kami menjadi akrab dalam perjalanan menuntut ilmu bersama sama.

 

Aku mula bersemangat seperti biasa. Aku buang yang tidak perlu dalam circle. Aku mula menerima takdir dengan seadanya.

 

Ramadan menjelma. Di dalam hati, aku berazam untuk belajar dan menghayati serta menikmati ramadan.

 

Setiap hari, selesai tugasan di tempat kerja aku menyertai kumpulan sukarelawan Ramadan masjid. kami menyiapkan bahan proses untuk dimasak bersama sama mengikut menu juadah berbuka puasa yang disediakan. Aku merasai sesuatu di dalam hati menyertai sukarelawan Ramadan pada kali ini – sesuatu yang lain dari tahun-tahun sebelumnya. Aku merasai ketenangan, rasa bahagia tanpa rasa penat serta kehausan walaupun ramadan tahun ini diuji dengan cuaca yang begitu panas. Betapa nikmatnya perasaan ini.

 

Beginilah rutin aku menjadi sukarelawan ramadan. Dalam kesibukan menyediakan bahan proses masakan kami sempat berkongsi ujian masing masing. Setiap perkongsian aku dapat simpulkan, kita dibentuk dan dididik oleh ujian. Dengan ujian yang berlaku ini tanda kasih sayang Allah pada kita. Dengan umur mereka yang sudah pencen mereka terus berbakti kepada masyarakat. Bulan Ramadan tahun ini aku berazam akan memimpin diri sendiri, berusaha mendidik hati menjadi kuat tunjangnya agar tidak goyah dan rebah.

 

Dengan aktiviti sukarelawan ramadan, aku tidak pernah berputus asa menghadiri bedah buku refleksi 30 juzuk yang dipimpin oleh guru kami dari kumpulan Tumbuh. Setiap hari kecuali hari cuti aku belajar mesej utama sambungan emosi dengan semua mesej yang disampaikan. Cara pengajaran yang disampaikan berbekas di sudut hati. Ramadan ialah bulan untuk kita sibukkan diri dengan al-Quran, menghayati dengan makna dan menelusuri kemukjizatannya.

 

Apa yang dapat disimpulkan Ramadan yang berakhir dengan saranan takwa. Ramadan untuk kita berdoa. Ramadan mendidik dan mentarbiahkan dari segala aspek akal jasad dan roh untuk kebaikan dunia dan akhirat.

 

Ada kenangan yang hadir disudut hati. Di saat aku dihempap dengan ujian vertigo dan hilang satu pendengaran sebelah telinga kanan, aku dihimpit dengan satu perasaan bersalah disebabkan tidak menjaga minum serta kesihatan. Atas khilaf selama ini, aku bangun melakukan solat taubat serta tahajjud. Aku minta dengan tuhan, jika jalan ini jalan hidupku yang engkau takdirkan bantulah aku. Ya Rahman, ya Rahim berikanlah aku petunjuk dan bimbinglah aku ke jalan yang diredai. Sampai hari ini, aku dan solat sunat tahajjud tidak dapat dipisahkan.

 

Walaupun tergesa-gesa menyediakan juadah sahur dibantu oleh suami di sebelah, namun masih sempat lagi kami menunaikan solat sunat tahajjud. Kekuatan solat sunat tahajjud ibarat panah tepat pada sasaran.

 

Beginilah ujian aku, cara ini Tuhan membantu aku untuk bangkit. Di saat aku jatuh ada perkara yang aku belajar dan mengambil sebagai hikmah. Ujian itu mendidik supaya kembali kepada Allah. Belajarlah daripada ujian, berapa banyak ujian yang ditempuhi kita perlu letakkan Allah bersama kita kerana itulah proses perubahan untuk diri sendiri.

 

Sejak saat itu, aku percaya selemah mana pun kita, Allah adalah sandaran terbaik bagi hamba-Nya. Dan di saat kita lemah menangislah menghadapi yang Maha Esa. Menangislah itu bermakna bukan kita lemah tapi ia sinar baharu untuk sebuah kebangkitan dan kekuatan.

 

Bagi aku, segalanya adalah proses untuk mendewasakan diri sendiri. Bukan ini doa aku zaman jahiliah? Mencari sesuatu pertanyaan perasaan dan kenapa perasaan ini.

 

Khilaf itu rahmah, ujian itu mematangkan. Biarlah orang mengambil jalan mudah, aku pilih jalan bermuhasabah.



Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shopping Basket
Scroll to Top