Program Bulatan Mekar Khas untuk Petugas Kesihatan telah berlangsung dengan jayanya pada hari Jumaat yang lalu. Webinar ini menghimpunkan para petugas kesihatan dalam satu sesi psikopendidikan dan sokongan emosi yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran serta kefahaman terhadap kepentingan kesihatan mental dalam kalangan barisan hadapan.
Sesi ini menampilkan topik utama “Kesihatan Mental: Kenali, Nilai, Bantu”, yang telah disampaikan oleh Dr. Zafferina Zulghaffar, Pakar Perubatan Keluarga UD15 dan pelatih subkepakaran kesihatan mental di Kesihatan Primer, KKM. Antara intipati yang dibincangkan termasuklah definisi kesihatan mental, kesan tekanan terhadap kesejahteraan individu, dan kepentingan mengenalpasti tanda-tanda awal gangguan emosi.
Menariknya, sesi ini turut disertakan dengan aktiviti praktikal seperti teknik pernafasan dalam dan latihan Progressive Muscle Relaxation (PMR) yang memberi peluang kepada peserta untuk mengalami sendiri kaedah pengurusan tekanan yang mudah dan berkesan.
Walaupun sesi dijalankan pada petang Jumaat, suasana webinar tetap berjalan lancar dengan penyertaan aktif daripada para peserta. Peserta dilihat memberikan tumpuan dan menunjukkan semangat yang tinggi sepanjang program berlangsung.
Melalui maklum balas yang diterima, kebanyakan peserta menyatakan sokongan agar program seumpama ini diteruskan secara berkala. Ia dilihat sebagai satu inisiatif yang relevan dan bermanfaat dalam menyokong kesejahteraan emosi para petugas kesihatan yang sentiasa berhadapan dengan tekanan kerja harian.
Terima kasih diucapkan kepada semua yang telah hadir dan menjayakan sesi ini. Semoga kita dapat berjumpa lagi dalam siri program yang akan datang.
Anjuran:
Malaysian Mental Care Association – MeCare
Disokong Oleh:






