Orang kata kubur itu gelap, sunyi dan menakutkan. Aku dah merasainya. Aku ada Major Depressive Disorder (MDD). Betul-betul macam dah mati. Sekujur tubuh kaku dan tidak bermaya.
Orang banyak tanya apa beza depresi dan stres. Rasa sedih berpanjangan, hilang minat, tiada atau bertambah selera makan, rasa bersalah melampau, kurang atau terlebih tidur, hilang tumpuan dan sukar buat keputusan, cepat penat, cepat triggered (marah) dan ada perancangan untuk bunuh diri. Aku ada lebih dari 5 gejala-gejala ini. Gejala-gejala ini perlu berterusan selama 2 minggu. Bukan 2 minggu, aku dah rasa bertahun-tahun.
Aku ada MDD. Jantung aku berdegup laju, tangan aku terketar-ketar. Tak, aku tak sakit jantung. Stres berlebihan sebabkan otak aku sakit. Kesannya pada fizikal. Orang tak perasan kan. Tapi aku rasa sakitnya. Sangat susah untuk menjalani kehidupan seharian. Orang mungkin guna gear 1 dah boleh jalan, tapi aku tak. Aku kena guna gear 4 baru boleh jalan. Aku kena guna usaha lebih. Aku penat. Betul aku struggle.
Sebenarnya, besar mana pun masalah, kalau ada orang support kita, masalah akan rasa berkurang. Aku harap kita banyakkan sifat empati, kurangkan menghakimi. Kalau nak bercakap, cakap sesuatu yang boleh orang lain gembira. Naikkan motivasi. Pujian. Bukan tak boleh tegur. Dr Fadzilah Kamsah cerita, nak tegur orang 1 perkara, puji dulu 9 perkara. Kadang cakap lepas, kita lupa menjaga hati.
Alkisah di hari raya. Kita semua nak bergembira. Eloklah didiamkan sahaja, persoalan di hati. Aku tahu persolan yang bertubi-tubi, pasal kerjaya, anak dan perkahwinan. Sudahlah tu. Sembang pasal makanan lagi kencang. Kita enjoy sakan. Ingat, jaga hati orang.
Jika betul engkau ingin membantu. Tak perlu tunggu raya, hendaklah sentiasa bertegur sapa. Ambil cakna. Bawa makanan dengan muka ceria. Kan aku dah cakap, kami perlukan sokongan dan dorongan. Tanpa menghakimi. Kami mahu sembuh. Tiada lagi aku, tapi kita. Kita perlukan satu sama lain.