#KaryaHariIbu: Kemurungan Perinatal

8 March. 
 
Ada apa dengan tarikh 8 March? 
 
8 March merupakan tarikh sambutan Hari Wanita sedunia setiap tahun. 
 
8 March merupakan tarikh hitam tragedi kehilangan pesawat MH370 pada tahun 2014.
 
8 March 2016 juga adalah tarikh dimana aku berjuang memilih antara hidup dan mati.
Berjuang untuk mencari sebuah kekuatan dari sisa harapan yang semakin menghilang. Berjuang demi mempertahankan nyawa kecil yang berada dalam rahimku. 
 
Bayi yang dikandung tanpa dirancang dan tidak diingini. Tumbuh membesar dengan baik walaupun tiada tangan yang mengusap dan membelai. 
 
Masih segar dalam ingatan, perbualan dengan doktor pakar psikiatri yang merawat, ketika aku memberi khabar tentang keadaanku yang sedang hamil. 
 
“Shikin, I strongly suggest that you should abort this pregnancy.” 
 
“You’re mentally unwell to continue with this pregnancy.”
 
Aku terdiam lemah. Tak tahu nak jawab apa. Rasa keliru, takut dan tak mampu nak berfikir dengan jelas. 
 
Aku tetap meneruskan janji temu di klinik Ibu dan anak untuk pemeriksaan kandungan setiap bulan. Doktor di klinik sedia maklum dengan masalah kesihatan mental yang aku hadapi. 
 
Kebiasaannya, bagi kes mengandung yang normal, tak perlu jumpa doktor di setiap temujanji. Tapi untuk kes aku, setiap bulan perlu jumpa doktor untuk pemantauan yang lebih rapi. 
 
Doktor : “Ada rasa nak cederakan diri?”
 
Aku mengangguk. 
 
Doktor : “Ada rasa nak cederakan baby?”
 
Aku mengangguk perlahan. 
 
Doktor : “Apa suggestion from your treating doctor (Psychiatrist)?
 
Aku jawab pendek, “Doktor minta gugurkan kandungan.”
 
Doktor : “Kalau macam tu, untuk you punya kebaikan, you should consider for abortion. Nanti saya tulis surat refer ke O&G untuk abortion. Tak pasti samaada it is still safe to do it at 12 weeks pregnancy.” jawabnya tegas dan padat. 
 
Aku hanya merenung kosong tanpa apa-apa perasaan. 
 
Balik rumah, aku cerita pada encik suami mengenai cadangan doktor. Dah tentunya encik suami kurang bersetuju. Tapi walaupun begitu, encik suami memberi hak sepenuhnya kepada aku untuk membuat keputusan. 
 
Aku sendiri pun masih berbelah bahagi. Nak diteruskan rasa tak mampu. Nak dibuang, rasa sayang pula. 
 
Akhirnya aku minta pendapat dari emak.
 
Kata mak, “Kalau untuk kebaikan dan keselamatan along, mak setuju. Tapi mak takut awak menyesal nanti.” lembut sahaja tutur bicara mak memberi pendapat. 
 
Ada benarnya kata-kata mak. Aku tak tahu apa sebabnya yang membuatkan aku nekad untuk meneruskan kandungan ini. Mungkin kerana aku tak nak menyesal di kemudian hari. 
 
Mungkin juga kerana aku merasakan tiada siapa pun yang akan mempertahankan nyawa kecil ini, kalau bukan aku sendiri yang berjuang untuknya. 
 
Ya, tiada siapa yang akan berjuang untuknya kecuali ibunya sendiri.
 
Maha pengasihnya Allah yang meniupkan rasa belas kasihan dan simpatiku terhadap penghuni kecil yang sudah lengkap terbentuk dalam rahimku ini. 
 
Hari-hari yang berlalu dirasakan begitu sukar sekali. 
 
Badan rasa letih dan tak berdaya. Selera makan hilang entah ke mana. Langsung tak ada rasa untuk bangun dan meneruskan hidup.
 
Dunia kelihatan mendung dan berkabus. Rasa kosong dan sunyi menemani hari.Tiada apa pun yang mampu menghiburkan hati. 
 
Suara anak-anak bermain dan bergelak ketawa berlalu pergi tanpa berbekas di hati. 
 
Masa yang dilalui banyak dihabiskan bersendirian terkurung di dalam bilik. 
 
Sedikit demi sedikit, keupayaan untuk menguruskan diri semakin terjejas. 
 
Aku langsung tak peduli dengan keadaan diri dan kandunganku. 
 
Perut seringkali dibiarkan kosong tanpa makanan. 
 
Berbulan lamanya rambutku disanggul dan tidak dibasuh. Apatah lagi disikat. 
 
Sehinggakan anak perempuanku yang berusia 12 tahun bersuara lembut, “Ummi, dah berapa lama ummi tak sikat rambut?”
 
Aku hanya memandang kosong. Aku sendiri pun tak perasan dah berapa lama rambutku tidak diurus. 
 
Dia ambil sikat dan menyikat rambutku dengan penuh berhati-hati. Rambut yang kusut dan bersimpul dileraikan satu persatu.
 
Perasaan sebak tiba-tiba menguasai diri. Dalam keadaan begini, ada juga yang sudi ambil tahu dan peduli. Lebih-lebih lagi perhatian itu datangnya dari seorang anak. 
 
Ada rasa bahagia yang mengalir perlahan memeluk tubuhku. 
 
Jujur aku sebenarnya tak berapa ingat apa yang berlaku sebab dah 6 tahun berlalu.
 
Kesihatanku semakin merosot. Tambahan pula aku tak ambil sebarang ubat-ubatan untuk mengawal simptom depresi yang melanda. Aku dah lama berhenti makan ubat. Hampir 8 tahun. 
 
Menurut anak-anak, aku mula bercakap seorang diri. Tapi aku tak ingat langsung. 
 
Setiap hari ada 3 ekor lembaga hitam yang mengekoriku. Bila tiba waktu malam lembaga itu ikut masuk ke dalam bilik tidur dan duduk di belakang pintu. 
 
Setiap pagi apabila bangun dari tidur, cepat-cepat aku meraba perutku untuk memeriksa samaada kandunganku masih ada atau sudah hilang. 
 
Aku dan kandunganku dalam bahaya. Tapi aku tak boleh nak minta tolong dengan sesiapa pun. 
 
Sebab aku percaya kalau aku bagitahu sesiapa, perkara tu akan benar-benar terjadi. 
 
Itulah yang diberitahu oleh suara tersebut.
 
“Kalau kau bagitahu sesiapa, aku ambil bayi dalam kandungan kau!”
 
Setiap kali jumpa doktor aku tak dapat nak bagitahu apa yang sebenarnya berlaku. Semuanya aku simpan dan tanggung seorang diri demi keselamatan anak dalam kandunganku. 
 
Fikiranku semakin keliru. Aku tak tahu nak buat apa. Aku tak dapat membezakan yang mana realiti dan bukan realiti. Semuanya sama sahaja. 
 
Suara-suara dalam mindaku semakin aktif bekerja. Hari demi hari aku semakin tenggelam dalam dunia sendiri. 
.
.
 
-Apa kata kau ambil p***u dan k*l*r tangan kau! 
 
Tak boleh! Kalau aku k*l*r tangan aku, aku boleh mati! 
 
-Ahh!  Kau takkan mati. Mana kau tahu kau akan mati? Apa kata kau cuba dulu. Dah cuba baru tahu. 
 
Aku tak mahu! 
 
-Kenapa kau takut sangat?  Lagipun ini bukan realiti. Kalau kau buat apa-apa pun, takkan ada apa pun yang terjadi. Percayalah. 
 
-Kau ambil gunt**g dan t*k*m ke**luan kau! 
 
Tak boleh, aku tak sanggup. Kalau aku buat macam tu, anak aku akan mati! 
 
-Kenapa tak boleh? Bukan ke kau yang tak mahukan kandungan ni? 
 
-Kenapa kau masih berkeras mempertahankan kandungan ni? Lagipun anak ni bukan anak kau! 
 
Ini anak aku! 
 
Betul ke ini bukan anak aku? 
 
-Aku tak tahu. Hanya kau yang tahu jawapannya! 
 
-Lebih baik kau b*n*h anak ini! 
 
-T*k*m dia dengan gunt**g. Be**h perut kau dengan p***u! 
 
-Kau bukan ibu yang baik. Lebih baik kau mati! 
.
.
 
Setiap hari aku bergelut dengan suara-suara yang cuba untuk mempengaruhi kewarasan akal fikiranku. Mindaku menjadi musuh yang paling ketat. Aku adalah ancaman buat diriku sendiri. 
 
Aku semakin tewas dengan suara-suara yang tak henti mengugut dan memujuk rayu. 
 
Dengan sisa tenaga yang ada, aku cuba bertahan demi keselamatan diri dan anak dalam kandungan. 
 
Aku terus berjuang untuk hidup. Tapi lama kelamaan, semangatku makin pudar. Tubuhku semakin lemah. Pergerakanku menjadi lambat dan terbatas. Tutur bicaraku semakin perlahan dan tersekat-sekat. Sehingga akhirnya aku hanya membisu. 
 
Sepatah ditanya, sepatah dijawab. Itu pun dengan penuh kepayahan. 
 
Tiada lagi suaraku bermain atau menegur anak-anak. Tiada lagi kelibatku kehulu kehilir memasak, membasuh baju dan mengemas rumah. Urusan rumahtangga dah mula terabai. Anak-anak dan suami mengambil alih tugasku. 
 
Ingatanku semakin kabur. Sehingga aku terlupa arah kiblat dan surah Al-Fatihah walaupun aku solat setiap hari. Sudah tentu suara-suara ini mempengaruhi ku untuk meninggalkan solat. Aku jadi was-was samaada solatku sah atau tidak. 
 
Syukur Alhamdulillah, Allah masih memberi kekuatan buatku untuk menjalankan ibadah wajib yang satu ini. 
 
Aku tolak tepi soal sah atau tidak. Aku yakin Allah lebih mengetahui keadaanku. Aku dah cuba yang terbaik. Selebihnya aku serahkan kepadaNya. 
 
Minggu-minggu yang seterusnya aku berjumpa dengan doktor psikiatri. Temujanji ku agak kerap memandangkan keadaanku yang tak stabil. 
 
Doktor berusaha memujukku untuk makan ubat. Tapi aku menolak kerana bimbangkan keselamatan bayi dalam kandunganku. Aku takut kalau ada kesan sampingan dari ubat. 
 
Setiap kali jumpa doktor, mulutku seakan terkunci. Terasa susah benar untuk meluahkan apa yang tersimpan di fikiranku. Terlalu banyak suara-suara yang memberi cadangan dan menggangu perbualanku. Akhirnya aku tak mampu bersuara dan tenggelam dalam fikiranku sendiri. 
 
 
“Shikin masuk wad ya.” lembut suara doktor memberi cadangan. 
 
Namun kata-kata tersebut cukup untuk membuatku rasa gentar seperti ais dingin yang menjalar di tulang belakangku dan mengalir ke seluruh tubuh. 
 
Memori masa lalu terpampang dengan jelas di hadapan mataku. Aku terkedu. Langsung tak terjangka yang aku terpaksa lalui perkara ni sekali lagi. 
 
Ya, aku dah banyak kali masuk wad sebelum ni. Kali terakhir aku masuk wad pada tahun 2008. Setelah 8 tahun dalam keadaan stabil, aku relapse semula. 
 
Aku tak berdaya untuk membuat sebarang keputusan. Aku tak tahu nak cakap apa. 
 
Melihat keadaanku yang kelu dan keliru, doktor memujukku dengan lembut, 
 
“Selama ni Shikin dah buat yang terbaik untuk jaga diri Shikin dan orang yang Shikin sayang. Now, let us take care of you.”
 
“Saya tak tahu.” 
 
“Tak apa, nanti doktor bincang dengan suami Shikin ya.”
 
Aku hanya mengangguk lesu. 
 
Tiada rasa sedih, kecewa atau apa-apa perasaan yang melintasi ruang hati. Hanya ada rasa sayu. 
 
Pada mulanya encik suami tak bersetuju. Dia cuba untuk memujukku dan mencadangkan kami pergi bercuti supaya aku dapat rehat sebentar dan mengurangkan tekanan yang aku hadapi. 
 
Aku menggeleng. Dah terlambat. Kalau beberapa bulan yang lalu, mungkin cadangan tu dapat membantu. 
 
Empangan air mata yang tertahan pecah juga. 
 
“Abang nak buat apa simpan kin kat rumah ni macam mayat hidup! Kin dah tak boleh nak buat apa-apa sekarang ni.. Kin dah tak tahu nak buat apa…”  air mataku berderai membasahi pipi. Dadaku berombak menahan sedu. 
 
Akhirnya atas persetujuan suami, aku menyerah diri ke wad psikiatri pada petang Selasa, 8 March 2016. 
 
Hampir tiga purnama aku mengenakan pakaian seragam berwarna ungu, tidur beralaskan cadar putih dan berselimut putih. 
 
Berkali-kali aku menyoal diri. 
 
Ujian apakah ini? 
Apa sebenarnya yang terjadi? 
Kenapa sampai macam ni sekali? 
Apa yang Engkau mahu aku belajar dari semua ini ya Allah? 
 
Aku dah usaha yang terbaik untuk pulih dari penyakit ini. Aku tak pernah culas untuk datang ke setiap temujanji yang diberikan oleh doktor. 
 
Jujur aku kecewa, sedih dan marah kepada diri sendiri. Bukan mudah memujuk hati untuk menerima apa yang terjadi. 
 
Setiap kali datangnya tarikh 8 March, hatiku pedih bagai dicarik-carik. Tarikh 8 March dipilih untuk memperingati dan menghargai jasa wanita. 
 
Tetapi apakah sumbangan dan jasaku sebagai seorang wanita, seorang ibu dan seorang isteri? 
 
Tarikh 8 March mengingatkan aku kepada kegagalan. Aku gagal sebagai seorang ibu dan isteri sehingga aku terpaksa dimasukkan ke wad psikiatri. Ya, aku rasa gagal setiap kali aku masuk wad. Gagal untuk sembuh. 
 
Tarikh 8 March juga mengingatkan aku kepada pengorbanan dan perjuanganku sebagai seorang ibu demi melihat kelangsungan hidup anak yang dikandung dalam rahimku. 
 
Syukur Alhamdulillah, kini anak itu membesar dengan sihat. Keletah dan sifatnya berbeza dari kakak dan abangnya. 
 
Setiap hari mulutnya tak berhenti mengucapkan terima kasih. 
 
“Terima kasih ummi sebab buatkan roti untuk Aqim.”
 
“Terima kasih ummi sebab belikan mainan untuk Aqim.”
 
“Terima kasih ummi sebab jaga Aqim.”
 
“Terima kasih ummi sebab sayang Aqim.”
 
Ya, terima kasih. 
 
Terima kasih kerana menjadi kekuatan buat ummi untuk terus hidup. 
 
Terima kasih ya Allah kerana mengirimkan malaikat kecil yang diberi nama Muhammad Mustaqim. 
  

Selamat Hari Ibu 2024

Tulisan: Ashikin Rahim

.Tonton Rakaman Webinar “Perinatal Depression” yang dianjurkan sempena Hari Ibu 2024

https://www.youtube.com/watch?v=BelpLnDQeQY

Sekiranya ada pengunjung www.mecare.my ingin berkongsi pengalaman anda sebagai pesakit / penjaga pesakit mental, e-melkan karya ke [email protected]. Penulisan yang sesuai akan dikongsikan di laman ini sebagai satu usaha untuk menoktahkan stigma berkaitan penyakit mental.jaji 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shopping Basket
Scroll to Top