Sayu hati ini makin sayu, rindu terkenangkan desa permai, wajah ayah bonda bermain di mata, mengajak kupulang ke desa, di hari bahagia, hari raya. Alunan merdu suara Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang mendendangkan lagu Air Mata Syawal dihayati Lydia dengan penuh kesyahduan.
Air mata mengalir. Sebak hati Lydia mengenangkan nasibnya yang selalu tidak dapat balik beraya di kampung halamannya.
“Kita ni kakitangan kerajaan, susah jika polis buat serbuan. Silap-silap dengan kita sekali kena angkut” terngiang-ngiang suara suaminya yang sering mengelak untuk balik berhari raya di kampungnya. Jika balik sekalipun, tidaklah Lydia dapat berlama-lama untuk melepaskan rindu dendamnya.
Paling menyedihkan apabila tidak dapat menziarahi pusara ayahnya yang sangat dirindui. Lydia juga rindu untuk bersalaman dan memeluk tubuh tua ibunya yang kian uzur kini. Kali ini Lydia nekad. Dia harus memujuk suaminya untuk balik berhari raya di kampung kelahirannya.
“Abang, saya risau keadaan emak, kita balik beraya di kampung ayang ye. Walaupun sekejap, jadilah. Asalkan dapat menjenguk emak” pujuk Lydia manja.
* * * * *
“Betul ke kamu ada kawan yang selalu bercakap-cakap dengan kamu, dik.”
“Ada, tapi sekarang makin kerap juga kawan adik tu datang. ‘Dia’ selalu ajak adik buat benda-benda baik macam suruh adik bangun awal, kemas rumah, tolong emak, sapu sampah. Kadang-kadang kawan adik ajak adik mengaji dan solat bersama. Adik boleh mengaji Along.”
Lydia melayani adiknya yang dikatakan sedang ‘kacip’ dengan benda yang diambilnya itu. Cuma, Lydia agak pelik kerana adiknya itu seorang yang pemalu. Jika mahu mengajaknya bersembang sangat susah. Tidak seperti keadaannya sekarang. Macam-macam perkara boleh dibawa bersembang dengannya.
“Tapi adik selalu juga bergaduh dengan ‘kawan’ adik ni. ‘Dia’ selalu bagi tahu benda yang bertentangan dengan ajaran agama kita. Itu yang adik marah. Adik rasa benda yang ‘dia’ cakap tu salah.”
Perbualan antara Lydia dengan adiknya itu menjentik kebimbangan Lydia terhadap keselamatan ibunya. Lydia tidak dapat membayangkan jika ‘kawan’ adiknya itu mengajak adiknya melakukan sesuatu di luar batas kemanusiaan seperti yang pernah berlaku dalam kalangan penagih yang sudah jauh berhalusinasi dengan dunianya. Berita tentang pembunuhan ibu atau bapa yang dibunuh anak sendiri yang menjadi penagih dadah banyak terpapar di dalam surat khabar sangat merisaukan Lydia. Bimbang kejadian itu berlaku dalam keluarganya.
Keadaan adik lelakinya itu telah diketahui oleh Lydia melalui adik keduanya yang memaklumkan keadaan adik bongsu mereka. Mereka berbincang bagaimana mahu merawat adik mereka yang dikatakan sudah agak kritikal apabila sering dilihat berbual seorang diri, ketawa atau marah-marah.
Bertahun emak merahsiakan keadaan adik. Bila ditanya, emaknya selalu memberikan alasan adiknya sakit terkena buatan orang. Sekiranya Lydia dapat pulang menjenguk emaknya, sukar untuk mereka bertemu kerana adiknya kerap berkurung dan menghabiskan masa dengan tidur di dalam bilik. Oleh itu, Lydia percaya bulat-bulat cerita emaknya.
Suami Lydia telah lama memaklumkan bahawa adik Lydia sakit disebabkan benda yang diambilnya. Lydia kurang percaya kerana adik lelakinya itu seorang yang baik, hormat ibu bapa dan bukan jenis yang panas baran. Tidak pernah Lydia melihat adiknya melayan emak mereka dengan buruk. Cuma kawan-kawan adiknya itu yang menimbulkan curiga di hati Lydia.
“Pastinya emak malu untuk berterus terang mengenai keadaan adik sebenarnya,” jelas Lydia kepada suaminya.
Kebimbangan suaminya berasas demi keselamatan anak-anak mereka yang ditinggalkan di rumah ketika Lydia dan suami terpaksa ke bandar untuk membeli barang keperluan dapor. Tambahan pula rumah jiran emaknya, sering dikunjungi penagih-penagih sekitar kampung yang menjadikan ‘port’ mereka berkumpul dan melayani ‘barang’ yang mereka peroleh daripada sepupu Lydia sendiri.
Suami Lydia lebih mementingkan keselamatan anak-anaknya berbanding keseronokan balik berhari raya jika keadaan itu tidak dibenteras segera. Oleh sebab itulah, suami Lydia sering mengelak untuk balik beraya di kampung Lydia. Suaminya tidak selesa dengan kehadiran penagih-penagih di kawasan sekitar rumah mentuanya yang agak tersorok daripada orang kampung itu.
Lydia memohon bantuan suami untuk menyelamatkan adik lelakinya itu. Sebaik sahaja mendapat pengakuan adiknya yang telah lama terlibat dengan dadah, Lydia berusaha memujuk emaknya untuk menghantar adiknya ke Pusat Pemulihan Penagih Narkotik (PUSPEN) untuk mendapatkan rawatan. Walau bagaimanapun, emaknya tidak bersetuju.
Bagi emak Lydia, biarlah anaknya itu berada di depan matanya. Dia bimbang jika anak lelakinya diapa-apakan. Lagipun anaknya tidak pernah berbuat onar di rumah apatah lagi di kampung. Selama ini rahsia adiknya itu tergenggam kemas dalam pengetahuannya seorang. Adiknya tidak mencuri, tidak menganggu orang kampung malah tidak membuat kacau jika berada dalam keadaan khayal dengan dadahnya.
Tambahan pula adik Lydia itu rajin. Bagi emaknya, dialah satu-satunya anak yang boleh menjaga sakit peningnya di rumah. Anak-anak perempuannya jauh mengikut suami masing-masing. Hanya anak itu seorang tempat dia bergantung harap.
“Emak sanggup tengok adik macam tu. Emak rela kami tak balikk jenguk emak sebab emak nak pertahankan adik daripada dirawat?”
Dua beranak itu bertangis-tangisan mengenangkan nasib mereka yang diuji dengan masalah dadah dalam keluarga mereka. Hubungan kekeluargaan renggang. Jiran-jiran benci, memulaukan emak kerana kawasan rumah emak menjadi kawasan penagihan dadah.
“Apabila hari raya, kami adik beradik tidak dapat balik beraya di kampung hanya kerana masalah ini. Adik semakin teruk berhalusinasi. Keselamatan emak dan anak-anak kami tidak emak fikirkan?” makin kuat Lydia menangisi sikap emaknya yang masih tidak mahu membenarkan anak kesayangannya dihantar ke PUSPEN.
Akhirnya, Lydia berjaya juga memujuk emaknya apabila memaklumkan bahawa segala maklumat dan urusan PUSPEN telah dia perolehi. Lydia sudah menghubungi pihak PUSPEN untuk urusan rawatan adiknya itu.
Lydia meminta emaknya agar jangan bimbang dengan keadaan adik. Lydia merayu agar adik bongsunya itu diberi peluang untuk mendapatkan rawatan. Jangan biar adiknya terus menjadi gila akibat pengambilan dadah yang berterusan.
Lydia menekankan tentang keselamatan emaknya. Lydia takut emaknya diapa-apakan apabila adiknya sudah hilang kewarasan akibat dadah. Lydia menceritakan tentang kematian ibu bapa yang dibunuh oleh anak mereka sendiri yang telah hanyut hidupnya dengan dadah. Lydia tidak mahu perkara itu berlaku kepada emaknya. Lydia tidak mahu adiknya jadi pembunuh. Lydia tidak mahu adiknya terus hancur kerana dadah.
Menjelang fajar syawal, emak Lydia mengetuk pintu bilik Lydia. Keputusan telah dibuat. Emak Lydia sanggup lepaskan adiknya itu pergi mendapatkan rawatan. Syukur Lydia tidak terhingga. Tubuh tua itu dipeluknya erat.
Dibisikkannya ke telinga ibunya, “terima kasih emak. Kita bagi peluang kepada adik berubah ye mak!”
Sujud syukur Lydia dengan keputusan emaknya. Syukur Lydia di pagi syawal kali ini, emaknya memilih keputusan yang tepat. Moga sinar bahagia menerangi masa depan adiknya itu.