PUISI LUAHAN HATI, TERAPI DIRI: “DIAM”

Aku mahu semuanya diam

Sekelam hening malam yang terdalam

Puas aku didendangkan bisikan bermacam suara

Yang membingit tajam

Kenapa hanya aku yang mendengar

Gema sumbang yang tercanang

Oleh paluan tohmahan, sumpahan

Bertalam-talam terhidang

Bernazam benar untuk jahanamkan

Segala ada ingin hidupku

Aku pinta, diam!

Angin yang terlalu perlahan itu harus kudengar

Perlu kepadanya kuhalakan layar fikiran ini

Walau kutahu sudah lama rabak, dikoyak segala ribut

Tetap perlu kupandu kapal hidupku

Yang hanyutnya sudah lama, semakin tenggelam

Sebelum karam perlu kulandaikan di pasir pantai selamat

Khabarnya alam ini semesta luas

Tapi sempit, kurasa hanya sekecil genggaman

Masih aku berputar di tempat yang sama

Sebentarlah, diam…

Biar hanya suaraku yang lantang melolong kuat meminta bantuan

Di tengah lautan kosong yang geloranya deras, taufannya kencang

Ombaknya gagah, menghempas lantai jiwa lemah

Aku yang hampir kelemasan merayu

Memohonmu berhenti melayangkan penipuan ke benakku

Lukisan bohong yang kau hulurkan

Menyesatkan aku kian jauh dari benarku

Jadi, diam!

Kau hanya satu soal yang kupendam terlambat kujawabkan

Berdendam kesumat kian lama

Terperuk, memburuk, membiak beribu yang busuk

Kejam memakan semua indah yang kusimpan

Langkah silam mana yang silap kujejak

Sampai berpiagam kehendak mengakhirkan degupan

Jangan, aku tidak mahu tewas

Aku perlu terus mencari

Setiap helaian doa yang terpinjam

Tolonglah, diam.

 

-MASTAZLIHA TS.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shopping Basket
Scroll to Top