Dimentia

Dimentia? Awak pernah lalui kehidupan bersama pengidap dimentia?

Ya, nyanyuk. Betapa banyak kesabaran yang perlu dikorbankan untuk melayani orang yang mengidap dimentia ini.  Tambahan pula, orang yang perlu disantuni itu adalah ibu bapa yang sudah kian uzur dan berumur.

“Tok! Ooo Tok! Jom balik, dah nak malam, nak berbuka dah ni!”

“Apa dia?”

“Baaaliiiikkk, maaakaaan.  Hari dah nak maaalaaaam!”

Watie terus menarik lengan datuknya, liat betul lelaki tua ini mahu meninggalkan pekerjaannya yang hanya menarah rumput-rumput di sekitar tanah lamannya.

Sekitar rumah bersih tanpa rumput apatah lagi lalang.  Tanah putih bersih, berdebu.  Malah dedaun pokok-pokok kayu sekitarnya seolah-olah malu menggugurkan daunan kering ke atas muka bumi yang bersih putih itu.

“Watie, kamu tolong mandikan tok kamu ni, hancing teruk.  Kaki berlemuih dengan tanah.  Gosok kaki tok kamu tu dengan berus sabut tu.  Biar bersih.” Arahan Mak Cik  Mi diakuri saja.   Masakan tidak mahu membantu, mak cik masih lagi sibuk memasak di dapur.

Tok Hassan didudukkan di atas kerusi kecil di dalam bilik mandi.  Perlahan-lahan air paip disiramkan ke atas kaki, peha, badan dan kepalanya.  Terlihat jelas Tok Hassan menikmati sejuknya air paip yang membasahi tubuhnya. 

Watie terus mengambil sabun buku jenama Lux disental ke atas berus sabut coklat itu.  Disentalnya lembut ke kaki datuknya. Diberusnya kuku-kuku kaki yang keras dan besar itu. Seterusnya betis kaki juga digosok lembut.  Terasa seronok pula menyental kulit kedut seribu Tok Hassan yang lembut kendur itu.  Diambilnya tangan kematu Tok Hassan dan diletakkan ke atas pehanya.  Tok Hassan hanya melihat sahaja tingkah cucunya membersihkan dirinya.  Setelah siap, kepala botak Tok Hassan disapu syampu, biar tidak masam kepalanya setelah seharian berjemur di bawah terik mentari.

Setelah Tok Hassan siap dimandikan, Watie mengambil tuala bersih mengelap tubuh tua datuknya itu.  Kain pelekat putih bergaris biru pink disarungkan ke tubuh Tok Hassan dari kepala ke bawah.  Setelah itu, kain basahan dilucutkan.

Tok Hassan ikut sahaja arahan Watie sehinggalah ke bilik, sehinggalah dibedak dan dipakaikan baju.  Tok Hassan dibaringkan ditilamnya yang telah digantikan alas baru. Plastik juga dibentangkan di atas tilam agar tidak kebasahan dengan urea yang tidak tentu masa keluarnya.  Setelah siap semuanya, Watie terus menjenguk Mak Cik Mi di dapor.

“Tok dah siap mandi dah! Nak bagi makan dulu ke nak tunggu kita berbuka sama-sama?”

“Bagi je Tok tu makan dulu.  Kejap lagi kita berbuka macam-macam pula hal toknya.”

        “Baik, Watie tolong suapkanlah tok makan.  Sedapnya kanji mak cik masak.  Siap ada kerabu pucuk paku lagi.  Kecur air liur ni. Mesti tok suka makan kanji.

* * * * * * *

        Masa berbuka riuh rendah kawasan ruang makan.  Tikar dibentang, pelbagai juadah terhidang.  Mana tidaknya.  Abang Mail yang balik kerja beli kuih.  Abah balik kerja pun beli juga makanan dari bazar ramadan. Anak-anak mak cik ramai.  Keluarga Watie hanya lima beranak. 

Watie bersimpuh ayu di sebelah ayahnya, Pak Cik Bakar.  Mana tidak Watie sanggup duduk berhimpit dengan abahnya, masakan kegemaran Watie sudah siap terhidang. Abah Watie sudah masakkan mi sup istimewa untuk dia dan anak-anaknya sepinggan seorang.  Bagi keluarga sebuah lagi, keluarga Pak Cik Man dan isterinya Mak Cik Mi, abah telah masakkan satu besen mi sup daging yang menjadi kegemaran mereka sekeluarga.

        Sedang enak menjamu selera terdengar suara Tok Hassan memanggil. “Hangpa saja ka makan.  Aku tak makan lagi ni.”

Mak Cik Mi bangkit daripada tempat makan, lalu menuju ke bilik bapa mentuanya membawakan sepiring kuih karipap dan juga sesenduk mihun goreng.

“Pak makan dah tadi, Watie tolong suapkan.  Tak apalah, ni ada kuih dengan mihun goreng, pak makan la ya”.  Piring yang berisi makanan diserahkan kepada Tok Hassan yang sudah duduk di birai tilamnya.

        “Mana ada aku makan lagi, hangpa belum bagi aku makan.  Saja nak bagi aku kebuloq.” Terketar-ketar tangan Tok Hassan menyuapkan makanan.  Watie membawa masuk sekole air kopi o suam buat datuknya.  Mak cik telah kembali semula ke tempat makannya dan meneruskan suapannya.

Tiba-tiba udara dapor tercemar dengan bau busuk cirit. “Ah, sudah!  Tok berak.”

Semua terkedu.   Adi dan Udin lari ke luar rumah sambil menatang pinggan mereka.

“Kami makan kat beranda luar sajalah mak”, jerit Adi dan Udin serentak.

Abah, Pak Cik dan yang lain sudah pun selesaikan juadah mereka sesegera mungkin.  Hanya aku dan Mak Cik Mi masuk ke bilik menguruskan Tok Hassan.  Kasihan aku melihat mak cik. Tidak pernah kering tangannya membuat kerja rumah.  Mujurlah mak tiri aku ada, dapat juga meringankan beban tugas mak cik.  Mak tiri aku panggil mak juga.  Mak bersihkan pinggan makan yang sudah berlonggok.  Siah dan Rozi tolong mengemas ruang makan tempat kami berbuka tadi.

        Mak cik masih lagi membersihkan Tok Hassan.  Aku membantu mak cik mengangkat Tok ke bilik air untuk dibersihkan dirinya daripada najis. Kain pelikat, cadar tilam dan plastik alas tilam dimasukkan ke dalam baldi yang sememangnya sedia ada di bilik.  Setelah selesai semua, kain yang kotor di bawa ke bilik air untuk dicuci.  Mak cik diam sahaja sepanjang dia mengemas bilik Tok Hassan.  Sedikit pun tidak terdengar suaranya mengomel atau marah.  

        Najis pada kain telah pun disiram dan dibuangkan ke dalam mangkuk tandas.  Beberapa kali juga air dilalukan pada bahagian yang terkena najis dan diberus dengan menggunakan berus sabut. Mak cik masih lagi di bilik air.  Aku sudah pun membentangkan plastik baru dan alas tilam serta cadar baru buat Tok Hassan.  Kain pelikat bersih juga sudah dipakaikan.  Setelah siap semuanya, tok Hassan yang hanya duduk sahaja di kerusi tepi tingkap biliknya itu, aku pimpin ke tilamnya agar Tok Hassan dapat merehatkan tubuh dan melelapkan matanya.  Tok Hassan terus berlagu dengan pantunnya menghiasi kesunyian malam.

        Azan isya sudah pun berkumandang.  Mak cik baru sahaja selesai menyiapkan tugasannya di bilik air.  Mak pula sudah selesai menunaikan solat maghrib dan menunggu untuk melaksanakan solat Isya.  Mak cik terus menggapai kain batik dan tuala untuk membersihkan diri sebelum pergi mendirikan solat Isya. Aku juga tergopoh-gapah bersiap untuk ikut abah ke surau bagi menunaikan solat tarawih berjemaah.

* * * * * * * *

        Pagi sahur keluarga Tok Hassan dikejutkan dengan keriuhan di dapor. Mak Cik Mi dengan anak lelakinya, Abang Mail berusaha mengangkat Tok Hassan ke rumah atas.  Watie pelik bagaimana Tok Hassan boleh berada di atas almari bersama dengan botol kicap.  Lewat mereka sahur pagi itu kerana kecoh membantu Tok Hassan turun dari almari barang di sebelah tangga. Bila masa, bagaimana dan mengapa Tok Hassan berada di atas almari dengan botol kicap di sisi, tiada siapa yang tahu.  Sahur mereka penuh kekalutan dan misteri dengan kejadian yang tidak disangka-sangka.

        Setelah selesai solat Subuh, mak dan Mak Cik Mi telah pun bergerak ke ladang getah bersama basikal buruk dan pisau menoreh. Segala nasihat untuk menjaga Tok Hassan skrip yang yang sama dituturkan kepada Watie dan anaknya Siah.  Mereka berdua hanya menganggukkan kepala tanda faham.  Tok Hassan kala itu masih lagi berbaring lena di tilamnya selepas kejadian mengejutkan pagi tadi.

* * * * * * * *

Pagi yang tenang, damai dan berseri dengan cahaya mentari yang perlahan-lahan memunculkan diri.  Pagi ini begitu gembira sekali.  Apa tidaknya pagi hari raya.  Setelah sebulan berpuasa, kini tibalah masa untuk berhari raya.

        Alunan takbir raya menggetar seluruh alam mensyukuri nikmat Allah. Aku membuka jendela bilik cantiknya rona pagi ketika fajar mula memancarkan cahaya.   Suasananya indah sekali.  Aku suka melihat suasana pagi raya, cahaya yang memancar, aroma ketupat dan rendang di dapur yang semerbak menusuk hidung.  Suasana dan semangat Aidilfitri sungguh luar biasa.

        Semua anak beranak cucu cicit Tok Hassan bangun awal, subuh berjemaah.  Suasana makin kelam kabut, ada yang berebut bilik air, tempat menggosok pakaian.  Mak Cik Mi dan mak masih sibuk di dapur, mengintu api merebus ketupat daun palas yang telah kami isikan pulutnya semalam.  Rendang Tok dipanaskan.   Kuah kacang juga masih menggelegak di dapur.   Nasi himpit yang telah direbus semalam sudah mengeras.  Tiba-tiba ternampak sebarisan semut hitam sedang bekerja juga pagi itu.  Rupa-rupanya, tin kuih bahulu tidak ditutup kemas.  Serdak kuih bahulu juga bertaburan di lantai dan di para. 



Kesibukan pagi raya turut tergendala apabila Tok Hassan sudah buat projeknya.  Bau najis semerbak memenuhi ruang dapur.  Najisnya dilempar ke tingkap.  Aduh, musnah keindahan pagi raya. 

“Mak cik, tok berak!”

Kepenatan Mak Cik Mi, terserlah di wajahnya.


Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shopping Basket
Scroll to Top