Selepas kematian arwah emak pada tahun 2012, suasana di bulan Ramadan dan Hari Raya tidak lagi sama seperti tahun-tahun sebelum ini.
Sewaktu arwah masih hidup, suasana bagi kedua-dua bulan tersebut masih dapat dimaknai, walaupun tanpa kehadiran seorang insan yang bergelar ayah.
Tiap-tiap malam di bulan Ramadan, pasti akan bersama emak untuk membuat kuih muih dan segala persiapan untuk menyambut perayaan.
Setiap malam juga akan berkumpul di surau, menunaikan solat Tarawih bersama rakan, mengaji Al-Quran.
Dan kemudian aktiviti disambung dengan bermain mercun dan meriam.
Sewaktu Hari Raya pula, tak lengkap jika tidak mengikut aktiviti baraan bersama ahli qariah surau di kampung.
Paling tidak pun, baraan bersama rakan-rakan sekolah.
Tapi kini semuanya cuma tinggal kenangan. Tiada lagi tangan yang dapat aku dakap di pagi Syawal.
Keterujaan untuk menyambut perayaan tidak lagi sama. Melihat orang lain bergembira bersama sanak saudara, aku lebih memilih untuk berdiam diri di rumah, walaupun masih di kelilingi keluarga dan adik beradik yang lain.
Memandangkan abang dan kakak sudah punya keluarga mereka sendiri, dan akan pulang berhari raya di rumah mertua masing-masing.
Namun, selepas berkahwin, perlahan-lahan aku cuba wujudkan kembali keterujaan untuk menyambut Ramadan dan Syawal.
Walaupun ianya mengambil masa yang lama, aku akan terus cuba mengembalikan kegembiraan yang telah lama lenyap dalam diri aku.
Beraya di rumah ayah?
Itu aku kena fikirkan terlebih dahulu. Sebab sebelum ni, aku pernah cuba baiki hubungan dengan dia, tapi mungkin pada pandangan mata dia bahawa aku ni sebenarnya tak wujud.
Sebab setiap kali aku datang ke sana, yang keluar pasa mulutnya cuma tentang abang akak aku.
Apapun, nasihat aku pada kalian yang membaca, jangan jadikan kesedihan yang sedang kita alami sebagai penghalang untuk kita menikmati keindahan Ramadan, serta memaknakan bulan Syawal.
Aku, kau dan kita semua berhak merasakan kenikmatannya. Walaupun dengan rasa yang sederhana, itu tidak mengapa.