Kekecewaan di Hari Raya

Semakin aku membesar semakin jauh untuk aku rasa kebahagiaan dan kenikmatan menyambut Hari Raya. 


Ini kisah aku. Pejuang pesakit mental yang telah disahkan oleh doktor psikiatri sejak 2019. 


22 tahun aku hidup dan semakin lama aku rasa semakin pudar rasa kegembiraan untuk menyambut perayaan Hari Raya. Bagi sesetengah manusia mungkin mereka beranggapan bahawa hari perayaan adalah hari yang dinanti-nantikan kerana pada hari tersebut sanak saudara dan keluarga dapat berkumpul dan meraikan Hari Raya bersama-sama. Lama sudah aku tidak dapat merasai nikmat menyambut Hari Raya beramai-ramai di kampung. Tapi itu dulu. 


Sekarang aku lebih suka bersendiri dan berkurung di dalam bilik. Bersosial apatah lagi. Ini berdasarkan apa yang aku rasa dan apa yang aku lihat. Saudara-mara aku mula menjauh sejak mereka tahu aku mempunyai masalah kesihatan mental. Mereka pernah melihat aku mengamuk dan ingin mencederakan diri. Mungkin itu salah satu sebab kenapa mereka makin menjauhkan diri dari aku dan keluarga aku. Adakah mereka risau jika aku mencerderakan mereka? Kalau lah mereka faham apa yang aku lalui dan aku berharap mereka faham kerana mereka adalah sebahagian dari keluarga besar aku. 


Makin lama aku dapat merasakan yang hubungan kami makin renggang. Tapi aku tidak salahkan mereka. Mungkin mereka takut dan risau jika anak-anak mereka melihat situasi yang mungkin tidak sepatutnya berlaku di depan mata mereka. Sekarang pun jika mereka pulang ke kampung, aku rasa sangat tersisih dengan layanan mereka terhadapku jika dibandingkan dengan layanan mereka dengan adik-beradik aku yang lain. 


Aku rasa selalu dipulaukan. Aku rasa diabaikan. Mungkin disebabkan itu aku lebih suka berkurung dan duduk di dalam bilik. Tidak bergaul dan bersosial dengan sanak saudara yang lain. Aku sudah sedaya upaya untuk melawan rasa takut dan sifat ‘introvert’ yang ada dalam diri aku tetapi mereka sendiri membuatkan aku rasa lelah dan gagal untuk mencuba keluar dari kepompong selesa aku. 


Aku rasa sangat kecewa. Adakah aku tidak layak untuk rasai bahagianya menyambut Hari Raya? Mengapa manusia cepat menghukum manusia seperti kami? Hinakah kami di mata masyarakat? Kami pun manusia. Ada hati ada perasaan. Jujur aku kecewa. 


Sekarang aku sedar dan faham betapa ramainya rakyat Malaysia yang kurang kesadaraan dan kurang mengambil berat tentang masalah kesihatan mental. Aku kecewa. Kami sedaya upaya membantu untuk fahami dan bantu diri kami tapi disebabkan kurangnya ilmu, kami disalahkan oleh masyarakat dan terus dihina. Yang faham dan ada kesedaran tentang masalah kesihatan mental, tahniah kerana anda cuba memahami kami. Kami juga pesakit. Sama seperti pesakit kronik yang lain. Cuma sakit kami tidak berdarah dan tidak dapat dizahirkan dengan pancaindera.


Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shopping Basket
Scroll to Top