
Siri Kesembuhan Holistik Sesi 12 yang berlangsung pada malam 13 Mei 2025 telah berjaya menarik penyertaan lebih daripada 105 orang peserta menerusi platform Zoom. Sesi ini menampilkan Dr. Aishah Siddiqah, seorang pakar psikiatri, sebagai pembicara utama dan dikendalikan oleh Aslinda Azman, aktivis dari Suri Rumah Rahmah (SRR), sebagai moderator. Tajuk yang dibincangkan ialah “Perinatal Anxiety: Keresahan Semasa Mengandung dan Selepas Bersalin”, bersempena sambutan Hari Ibu dan Hari Kesihatan 2025.
Sepanjang sesi ini, peserta diberi pendedahan tentang apa itu perinatal anxiety dan sebab mengapa ramai wanita tidak menyedari bahawa mereka sedang mengalaminya. Dr. Aishah turut berkongsi tanda-tanda keresahan yang sering dipandang ringan, serta teknik-teknik praktikal untuk membantu diri bertenang sepanjang tempoh kehamilan dan selepas bersalin. Perbincangan turut menekankan betapa pentingnya peranan suami dan orang sekeliling dalam memberikan sokongan emosi kepada ibu yang sedang melalui cabaran ini.
Hasil tinjauan maklum balas mendapati semua peserta memberikan respons yang amat menggalakkan dengan 100% menyokong penganjuran program ini pada masa hadapan. Sambutan yang memberangsangkan ini membuktikan program ini bukan sahaja relevan tetapi mempunyai daya tarikan yang kuat untuk menarik lebih ramai penyertaan dalam sesi-sesi akan datang.
Sebagai penghargaan kepada para peserta, e-sijil penyertaan dan cabutan bertuah turut disediakan. MeCare dan SRR mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah meluangkan masa untuk hadir dan sama-sama menyokong kesedaran tentang kesihatan mental ibu.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada rakan kerjasama kami, Suri Rumah Rahmah dan Hello Doktor atas komitmen dan kerjasama erat dalam menjayakan program ini. Kami juga ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan, Yayasan Hasanah, dan Kementerian Kewangan atas sokongan padu mereka. Tanpa sokongan semua pihak ini, penganjuran program ini tidak akan menjadi kenyataan.