Pada 30/4/2025 yang lalu, MeCare telah menjalankan satu Program Kesihatan Mental Asnaf yang bertempat di Gemas Golf Resort, Gemas. Program ini telah dianjurkan dengan kerjasama Unit Agihan, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Cawangan Gemas, dan memfokuskan kepada kesejahteraan mental golongan asnaf, khususnya wanita.
Seramai 40 orang peserta wanita dalam kalangan asnaf telah dijemput untuk menyertai program ini. Antara pengisian utama ialah saringan kesihatan mental serta latihan berkaitan skil pengurusan emosi, yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan keupayaan peserta dalam menguruskan tekanan serta cabaran kehidupan seharian.
Latihan ini telah disampaikan oleh dua ahli profesional MeCare iaitu Puan Nur Areefah binti Che Ahmad Tantowi, Pengerusi MeCare merangkap Ahli Psikologi Pendidikan, dan Encik Mohammad Aiman bin Amri, Bendahari MeCare yang juga seorang Ahli Psikologi Klinikal. Sesi turut dibantu oleh Saadah, yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran aktiviti.
Apa yang lebih menggembirakan ialah sambutan yang sangat menggalakkan daripada para peserta. Mereka menunjukkan minat yang tinggi dan terlibat secara aktif sepanjang program berlangsung. Ia sekaligus membuktikan bahawa usaha-usaha seperti ini sangat relevan dan memberi impak positif kepada komuniti asnaf.
MeCare mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini, khususnya MAINS Cawangan Gemas. Semoga program-program sebegini dapat diteruskan demi kesejahteraan mental masyarakat.








