Pada 10 Mei 2025 yang lalu, MeCare telah menjalankan pelatihan peer supporter kepada moderator kumpulan sokongan dalam talian di bawah kendalian MeCare.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kecekapan para pembimbing rakan sebaya (peers) dalam menyediakan ruang selamat (safe space) untuk ahli-ahli kumpulan yang sedang menghadapi cabaran kesihatan mental. Sepanjang sesi latihan yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 5 petang, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai topik penting termasuk peranan sebagai peer supporter, etika memantau hantaran dalam kumpulan, penggunaan tools berkaitan, serta garis panduan menangani isu-isu sensitif seperti pemikiran membunuh diri, gangguan emosi, dan stigma sosial.
Latihan ini juga memperkukuh kefahaman moderator yang juga peers dalam mengamalkan pendekatan berempati, menjaga batas privasi, serta menyampaikan teguran dengan berhikmah dan profesional. Peers terpiluh turut dilatih untuk mengenal pasti keperluan ahli dan mengurus laporan dengan telus serta adil.
Program ini mencerminkan komitmen MeCare dalam memperkasa komuniti sokongan mental melalui latihan berstruktur dan pemantapan kemahiran, demi memastikan setiap ahli mendapat sokongan yang selamat, beretika dan menyeluruh. Program berskala kecil dan berfokus ini diharapkan dapat memberikan impak yang besar kepada komuniti.
MeCare merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta yang telah hadir. Terima kasih atas komitmen, semangat dan sokongan yang telah menjayakan program ini. Bersama kita terus menyemai harapan dan mencipta ruang penyembuhan yang lebih inklusif dan bermakna. Dan tidak dilupakan juga, penghargaan kepada Yayasan Hasanah, NCEMH dan Kementerian Kewangan Malaysia atas sokongan yang tak pernah putus.