Ramadan Sebagai Penyembuh

Aku mengenali Anxiety sejak berusia 23 tahun lagi. Ia tiba-tiba datang tanpa diundang. ‘Sapaan’ pertamanya membawa kepada siri-siri serangan yang seterusnya.

 

Ada waktunya ia hadir sebagai kecelaruan, banyak waktu hadir sebagai kawan. Aku belajar mengendalikannya sendiri kerana kecetekan ilmu pada ketika itu.

 

Pernah beberapa kali cuba untuk mendapatkan bantuan, namun aku ditolak mentah-mentah kerana dirasakan belum ‘cukup’ sakit. Ramai, bukan sedikit yang dirujuk. Mungkin cara penyampaian aku yang tidak betul, itu andaianku.

 

Pada usia 37 tahun, ia tiba-tiba menghilangkan diri. Fikirku, aku sudah bebas daripadanya. Aku menjalani kehidupan seperti biasa. Tiada lagi babak mencederakan diri, semakin banyak solat sunat dapat didirikan. Perintah Kawal Pergerakan (PKP) juga berjaya dilalui dengan tenang dan rasional.

 

Namun, sangkaku panas hingga ke petang, hujan taufan di tengah hari. Ketika aku berdepan dengan konflik sebagai seorang anak yang tinggal di perantauan, sekali lagi aku didatangi olehnya.

 

Aku cuba menepis, namun gagal. Mendengar khabar resah saban hari membolak balikkan emosi diri. Ingin rasanya balik ke kampung, menjaga Ibu yang diuji dengan sakit kanser tahap akhir. Namun, tanggungjawab di tempat sendiri juga tidak dapat dilepaskan, dengan anak-anak yang masih memerlukan tatangan dari ibu mereka.

 

Syukur kali ini aku lebih matang, tahu di mana tempat untuk meminta sokongan. Aku mengikuti beberapa siri kaunseling, menidakkan saranan ubatan daripada doktor. Kononnya aku boleh tanpa ubat.

 

Alhamdulillah,  kaunselor juga bangga dengan perkembangan yang aku tunjukkan. Coping skills yang tip top, serta tahu mengendalikan emosi dengan baik katanya.

 

Tatkala sesi sampai ke fasa terakhir, aku disapa lagi oleh Anxiety. Bezanya kali ini ia membawa teman. Teman yang tidak pernah aku duga bakal miliki. Itulah dia Depresi.

 

Aku baru sahaja kehilangan insan tersayang yang kukira pengakhiran kepada persahabatanku dengan Anxiety (disorder). Malangnya aku silap. Dibawanya Depresi sebagai kejutan. Akhirnya aku pasrah, terus dirujuk ke klinik psikiatri dan disahkan menghidap major depressive disoder (MDD)

 

Ubat pun diambil. Dari 5mg ke 10mg dan kemudiannya 15mg. Kali ini aku dirujuk pula dengan pegawai psikologi, sebagai supplementary kepada rawatan.

 

Daripada putus harapan membawa kepada sinar. Perlahan tapi pasti, kata doktor. Aku cuma perlu tabah dan yakin.

 

Kalau dulu soalan kenapa sering menerjah, kali ini aku hanya mampu pasrah.

 

Tika masih bergantung kepada ubat, Ramadan pula semakin menghampiri. Sejujurnya aku  berdebar, takut untuk menghadapinya. Takut andai tidak mampu mengimarahkannya lagi dengan baik.

 

Tahun sebelumnya, aku mengalami beberapa siri serangan sehingga terpaksa ke Emergency and Trauma Department (ETD). Doktor mengesahkan aku menghidap Generalised Anxiety Disorder (GAD). Aku cuba untuk berpuasa namun gagal. Semakin kuat debaran terasa ketika berlapar.

 

Aku tewas beberapa hari yang sehingga kini masih belum berganti.

 

Tahun ini, aku bakal berpuasa bukan sahaja ditemani Anxiety, juga Depresi yang lebih sukar untuk diduga tingkahnya. Semakin mendekati Ramadan semakin pula aku takut. Takut kepada ketidakpastian.

 

Pegawai psikologi ada berpesan, jangan sesekali diagnosis diri. Aku pegang kuat kata-kata itu. Alhamdulillah, aku berjaya mengharungi Ramadan kali ini dengan lebih baik.

 

Sesekali Anxiety menjengah, terkadang Depresi menduga, aku cuba atasi dengan coping skills yang dipelajari, khususnya kaedah mindfulness. Ia sangat membantu diri ini.

 

Cuma aku tidak mampu berada di tempat ramai. Maka aku memilih melakukan tarawih yang lebih afdal, hanya di rumah. Bayangkan seorang yang asalnya extrovert, berubah 360 darjah seperti ini.

 

Sesetengah ibadah pula terpaksa dilupakan seketika, dilakukan secara berperingkat jika termampu. Hati kecil sering berdoa, semoga diterima segala usaha ini.

 

Hari raya pula kian menghampiri. Perasaan overwhelming semakin kerap menjengah. Seakan suatu jeritan batin tanpa suara. Mungkin kerana tahun ini tahun pertama raya tanpa sosok seorang ibu. Ibu yang telah pergi 7 bulan lepas, tewas pada sakit yang diuji. Kehilangan yang mungkin menjadi pintu kepada hadirnya Depresi.

 

Tidak mengapa. Jangan diagnosis diri. Tidak perlu mencari nama lain untuk keadaan ini walaupun terdetik mahu salahkan Seasonal Anxiety Disorder (SAD).

 

Cukuplah dua ini. Anxiety yang kadang menjadi kawan dan kadang menjadi lawan. Juga Depresi, yang suka menyelimuti diri, menyuramkan hari-hari dan menumpulkan rasa sakit.

 

Masih jauh untuk bergelar survivor, namun aku yakin aku adalah seorang pejuang yang akan terus berjuang menghadapi ujian ini.

 

Semoga Ramadan kali ini datang sebagai penyembuh. Tiada lagi Depresi, Anxiety pula hanya hadir sebagai suatu emosi yang normal. Insya-Allah.

 

Nota:

ETD : Emergency & Trauma Department

GAD : Generalized Anxiety Disorder

MDD : Major Depressive Disorder

SAD : Seasonal Affective Disorder

 


Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shopping Basket
Scroll to Top