Ramadan dan Harapan

Tahun ini merupakan tahun ke-10 semenjak saya di diagnosis dengan penyakit mental atau lebih tepat Bipolar Mood Disorder. 10 tahun yang penuh jatuh dan bangun. 10 tahun yang penuh spektrum warna.


Pada tahun ini, permulaan Ramadan saya agak perlahan ini kerana sebelum Ramadan, saya dimasukkan ke dalam wad psikiatri atas percubaan bunuh diri. Jadi, momentum menuju Ramadan agak perlahan. Namun, sudah saya amalkan tilawah al-Quran semenjak di dalam wad lagi.


Namun, keadaan semakin membaik apabila ubat-ubatan yang dibekalkan para doktor berada dalam tahap optimum. Saya menjalankan rutin Ramadan seperti biasa; bertilawah, beristighfar, dan solat sunat.


Saya risau juga, untuk pulang beraya di kampung halaman nanti. Bagaimanakah agaknya pandangan saudara-mara, apabila mereka mula mengetahui saya menghidapi penyakit mental? Fahamkah mereka? Atau stigmakah mereka?


Saya sememangnya bersifat terbuka dengan penyakit mental saya. Saya banyak berkongsi dengan kawan-kawan dan saudara-mara serta kenalan di media sosial, tentang perjalanan saya merengkuh penyakit mental ini. Hikmahnya, ada kawan-kawan yang mahu memulakan langkah pertama untuk  mendapatkan rawatan, merujuk kepada saya terlebih dahulu. Selalu mereka bertanya, “bagaimana mahu mula mendapatkan bantuan? Terus ke hospital atau bermula di klinik kesihatan?” Ada yang bertanya untuk diri mereka sendiri, ada pula yang bertanya untuk orang terdekat.


Saya sangat berminat dengan advokasi kesihatan mental malahan pernah menjadi salah seorang sukarelawan program anjuran badan bukan kerajaan, MeCare pada 2021 dan 2022. Semoga pada tahun ini, andai kata ada lagi program anjuran MeCare, dapat saya kembali menceburkan diri ke dalam bidang kesukarelawanan.


Masih teringat, semasa saya telah didiagnosis dengan penyakit mental dahulu, namun enggan mengambil ubat. Lantaran, diri ini belum berdamai dengan takdir ini. Ketika itu, saya belum benar-benar faham tentang penyakit mental dan belum menerimanya.


Ketika pulang beraya, saya mengalami ketakutan yang amat dahsyat ketika bertemu saudara-mara. Saya merasakan semua orang berkata-kata tentang saya. Simptom yang saya alami ini, dikatakan oleh pakar psikiatri, sebagai delusion of reference. 


Saya sehingga tidak mampu keluar dari bilik kerana terlalu takut. Tidur juga tidak lena. Puas saya yang tidak keruan dan ketakutan dijaga ayah. 


Memikirkan raya tahun ini, tahun yang saya berdamai dengan segala kesakitan, penyakit yang dialami. Bagaimana agaknya?


Harap-harap semuanya baik-baik sahaja. Semoga ketakutan di dalam diri saya lenyap dan lesap. Semoga jika ada yang bertanya tentang situasi saya, saya dapat berkongsi tentangnya dengan jujur dan berani. Mudah-mudahan masyarakat kita lebih memahami dan empati dengan pesakit-pesakit mental.


Tak sabar rasanya mahu bertemu dan memeluk saudara-mara yang sememangnya telah memahami akan kondisi diri ini. Mereka adalah Kak Aqilah, Kak Hanee dan lain-lain. Merekalah yang selalu memberi sokongan dan kekuatan untuk bertahan di celah ribut kehidupan yang merintang.


Saya mahu berkongsi cerita bersama mereka dan meminta nasihat-nasihat tentang kehidupan. Saya mahu memeluk erat mereka dan mengucapkan terima kasih atas kepedulian mereka.


Semoga Ramadan yang berbaki dan Syawal yang mendatang dilimpahi keberkatan dan kasih sayang daripada Allah. Terima kasih wahai Allah atas kesempatan ini yang penuh rahmat. Semoga Allah menetapkan hati-hati kita di jalan-Nya.



 


Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shopping Basket
Scroll to Top