Depresi, Ramadan dan Pengharapan

Aku bersendirian lagi pada Ramadan tahun itu, tahun ketiga setelah aku didiagnosis mempunyai Major Depressive Disorder ataupun dikenali sebagai depresi. Setelah menghidap depresi, aku menganggap Ramadan sebagai satu beban. Diriku bukanlah lagi seperti diriku yang dahulu. Aku mula menjauhi rakan-rakan sekelas, pembelajaranku terganggu kerana kehilangan fokus dan hidupku diragut oleh kesedihan yang tiada penghujung. Aku seakan-akan tiada kelangsungan hidup hilang selera makan dan hilang nikmat tidur. Ibadahku terganggu. Harapan untuk hidup kian malap, begitu juga kebergantungan kepada Tuhan. Bahagia itu ibarat impian yang mustahil. Hari esok bagaikan derita yang perlu diakhiri.

 

Kesedihanku bercambah kerana aku merasakan gagal dalam memaknai hidup sebagai seorang Muslim. Tahun itu, Ramadan tiba lagi – membawa seribu satu kekecewaan atas ketidak mampuanku beribadah seperti mereka yang lain. Ramadan adalah pesta ibadah, namun tidak bagiku. Ibadah sunat seperti solat tarawih dan membaca al-Qur’an tidak dapat dilakukan sehabis baik. Matlamat yang ingin dicapai di bulan Ramadan seperti mengkhatam al-Qur’an adalah suatu yang sangat payah untuk dipenuhi, tidak seperti tahun-tahun sebelumnya. Sahur dan berbuka puasa hanyalah berbekalkan segelas air dan buah tamar demi mengalas perut. Depresi turut mengakibatkan kelesuan fizikal, dan impaknya lebih mendalam apabila berpuasa. Aku dalam kebanyakan waktu, terlantar di atas katil merenung kegelapan ruang dalam jeda fikiranku yang dalam. Sesekali aku mendengar alunan bacaan ayat suci al-Quran yang dibacakan imam solat tarawih yang berlintas langsung melalui corong radio. Ada ketika, mataku basah dalam kesedihan dan rasa tidak berguna. Antara malam-malam yang hening itu, aku cuba gagahkan diri bersuci dan mendirikan solat mengikut kemampuan. Kerana keletihan, aku kembali rebahkan diri di atas hamparan sejadah. Ya Allah, adakah puasa aku ini diterima?

 

Tidak dinafikan, Ramadan adalah bulan yang paling dinanti-nantikan oleh semua yang beragama Islam dan tidak terkecuali aku. Di sudut hatiku yang paling dalam, kerinduanku untuk menyambut kemuliaan bulan ini sama seperti orang lain. Bahkan, aku mengharapkan tahun ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Ibadah sunat diganjari pahala sebesar ibadah wajib, ibadah wajib sudah tentu berkali-kali ganda ganjarannya berbanding bulan-bulan selain Ramadan. Namun kini, biarpun sedalam-dalam rinduku untuk bertemu dengan bulan penuh berkah ini, aku sedar akan hakikat beribadah sudah tidak lagi sama seperti masa sihat. Tahun itu adalah titik permulaan yang mengubah sudut pandang aku terhadap pelaksanaan ibadah di bulan Ramadan. Menghidap sesuatu penyakit tidak menghalang diriku untuk tetap beribadah walaupun melakukan kekecil-kecil amalan. Setiap perbuatan yang disandarkan kepada Allah SWT akan diganjari pahala. Yakin dengan berberkatan bulan ini, aku berdoa supaya diangkat dosa-dosaku dan diberikan jalan keluar daripada kemurungan ini.

 

Selain itu, aku mula mengurus jangkaan dengan menetapkan matlamat yang realistik sejajar dengan keupayaanku. Kemurungan banyak menjejaskan aspek penjagaan diri termasuk aspek kerohanian. Solat yang sudah menjadi kebiasaan kini menjadi sukar. Tahun ini, aku meletakkan matlamat umum agar Ramadan kali ini lebih baik dari tahun-tahun lalu. Matlamat khusus adalah seperti membaca al-Qur’an setiap hari. Biarpun azam Ramadan tahun ini tidak segah matlamat orang lain, aku hanya mengharapkan moga-moga amalan kecilku ini diterima. Menetapkan matlamat yang realistik sesuai dengan keupayaan diri dapat mengurangkan kekecewaan dan mencegah terjerumus ke dalam kecelaruan mental. Tidak perlu mengejar-ngejar matlamat yang terlalu sukar untuk digapai lalu membandingkan diri sendiri dengan orang lain. Perjalanan hidup ini berbeza-beza mengikut individu, dan ini adalah sesuai seperti yang ditetapkan oleh-Nya. Oleh itu, berhentilah melihat kegagalan dalam mencapai sesuatu matlamat sebagai pengakhiran hidup, kerana kegagalan kita hari ini bukanlah bermakna kita gagal selamanya. Esok adalah peluang baru dalam memperbaiki diri.

 

Kemurungan mengakibatkan kemerosotan fungsi diri, sosial dan pengajianku di universiti. Namun, setelah melalui fasa penafian akan berita buruk ini beberapa tahun yang lalu, kini aku tidak lagi melarikan diri daripada memeluk cebis-cebis hakikat disebalik ujian. Aku cuba untuk mengenali dengan lebih rapat isu kesihatan mental, terutamanya tentang kemurungan. Kurangnya ilmu dan kesedaran adalah faktor terbesar berlakunya salah faham terhadap pesakit mental. Salah faham ini lalu menimbulkan persepsi negatif yang membawa kepada stigma dalam kalangan keluarga dan masyarakat. Pesakit akhirnya mengelak daripada meneruskan rawatan susulan kesan daripada stigma yang menebal di sekeliling mereka. Justeru, memupuk kesedaran tentang isu kesihatan mental adalah tanggungjawab semua.

 

Walaupun pada awalnya aku melihat aspek spiritualiti dalam kaedah perawatan penyakit mental sebagai satu yang perkara yang asing dan skeptikal, kini aku mampu ketengahkan kepentingannya dalam kehidupanku. Ia adalah salah satu aspek penting dalam kesembuhan holistik penyakit mental. Kedekatan dengan Sang Pencipta mengubah sudut pandang negatif terhadap sesebuah ujian. Melihat sisi positif dalam suatu ujian membuka ruang kepada diri untuk bertumbuh dengan lebih baik. Bahkan, redha atas sesuatu ujian dapat mengurangkan kegusaran dan membina ketahanan mental menghadapi liku-liku hidup mendatang. Biarpun begitu, ubat-ubatan dan rawatan psikoterapi juga aku manfaatkan sebaiknya dalam membantu mengawal simptom-simptom depresi. Selain itu, hidup aku lebih bermakna kerana dikelilingi insan-insan yang berusaha memahami tanpa stigma akan kesusahan dialami.

 

Pengalaman tahun-tahun itu juga mengubah persepsiku terhadap depresi. Aku mula memandang depresi sebagai salah satu ujian hidup. Semua orang diuji, cuma ujiannya berbeza-beza. Aku diuji dengan depresi, orang lain mungkin diuji dengan kehilangan mereka yang tersayang, keperitan hidup dalam kemiskinan dan ada yang diuji dengan perkara yang lebih besar dan diluar jangkauan akalku. Dan ujian ini, tidaklah sia-sia selagi mana aku berusaha untuk mendekatkan diriku dengan Sang Pencipta. Ujian ini, adalah peluang dan jalan untuk kembali kepada-Nya. Kini, aku ingin berdamai dengan ketidaksempurnaan dan memeluk sempurna takdir yang tertulis. Aku ingin pulang kepada-Nya dengan menjadi hamba yang bersyukur atas hikmah di sebalik ujian ini. Semoga aku dan mereka yang masih mencari sinar di balik kegelapan ini dikurniakan ketabahan untuk menjalani hari-hari mendatang.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shopping Basket
Scroll to Top