Pelajar Psikologi yang Psikosis

Aku lebih selesa dikenali sebagai Faraz, bukan nama sebenar. Bukan sebab aku berasa malu memegang gelaran pesakit kecelaruan mental. Akan tetapi, aku tidak mahu orang terdekat mengetahui tentang masalah atau kesusahan emosi yang telah aku lalui sepanjang dalam tempoh aku mendapat diagnosis sebagai Depression with Psychosis. 

Sebagai orang awam yang tidak tahu apa itu “psychosis”, yang terlintas di dalam fikiran mereka mungkin aku mempunyai masalah sakit jiwa atau jiwa kacau. Perkataan “psycho’ sudah menjadi normalisasi dalam kalangan masyarakat dan sering dijadikan sebagai bahan lawak atau sarkastik. Malah, masyarakat selalu beranggapan bahawa perkataan “psycho” itu merujuk kepada orang yang mentalnya tidak stabil dan berbahaya. Hakikatnya, itu tidak benar sama sekali. 

Setelah disahkan aku mempunyai Depression with psychosis, kini aku faham dan reda mengapa aku didiagnosis sebegitu setelah aku mendapat pendedahan di dalam subjek psikologi klinikal dan sebuah kitab yang dianggap bible bagi orang Barat panduan tentang kesihatan mental dan gangguan berkaitan otak. Bagi orang awam yang bukan di dalam bidang dan tauliahnya, dinasihatkan supaya tidak dibenarkan sama sekali membuat self-diagnose sama ada pada diri sendiri atau orang lain tanpa merujuk psikiatris atau psikologis klinikal. 

Aku sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda dalam Psikologi yang masih dalam pengajian, banyak istilah sering disalahertikan atau disalahgunakan oleh orang awam itu sendiri. Aku berpandangan bahawa gelaran “psycho’ kepada seseorang secara ‘membabi buta’ atau sewenang-wenangnya adalah satu gelaran dan tuduhan yang amat berat. Tidak cukup dengan itu, golongan ini juga suka dan begitu mudah menjatuhkan hukum terhadap seseorang.

Adakalanya, aku merasakan mereka ini telah melangkaui limitasi tugas psikitris dan psikologis klinikal. Seolah-oleh mereka bertauliah dalam bidang tersebut. Seringkali aku mengingatkan kepada orang awam atau kenalan terdekat bahawa usah mengambil kerja Tuhan, apatah lagi mengambil kerja mereka yang bertauliah di dalam bidangnya. 

Tahun 2024 adalah tahun keempat aku bergelar pesakit kecelaruan mental. Aku berterima kasih kepada mereka yang masih mengingati dan mengambil berat tentang diri aku sehingga kini walaupun ada yang menjadi silent reader pada setiap status atau stories yang aku muatnaik di media sosial. Bagaimana aku sekarang ini? Apakah cabaran yang aku hadapi sepanjang tempoh ini? Bagaimana aku melalui cabaran ini? Pastinya ada yang tertanya bagaimana aku survive atau menghadapi kecelaruan mental ini.

Selama aku berhadapan dengan sakit ini, boleh aku katakan kecelaruan mental adalah ujian yang paling berat untuk aku hadapi. Ianya bukan sahaja ‘sakit’ pada mental, malah memberi kesan terhadap fizikal. Aku sentiasa berfikiran bahawa aku tidak sihat kerana aku sentiasa dan kerap mengalami sakit belakang terutama di bahagian cervical, sakit kepala berlarutan dan juga masalah perut. Tambahan lagi, aku juga merupakan pesakit GERD dan telah menjalani pembedahan Laparoscopic Fundoplication dua tahun yang lalu kerana sering mengalami anzieti dan beberapa kali mengalami serangan panik dan menyebabkan peristiwa itu menjadi trauma kepada aku. 

Pada mereka yang pernah berpengalaman merasai GERD itu sendiri, pastinya mereka mengalami perkara yang sama seperti yang aku lalui. Apabila kerap mengalami pedih ulu hati hampir setiap hari, ianya telah membawa aku kepada kemurungan dan anzieti. Tidak dengan itu, aku telah di diagnosis oleh psikologis klinikal bahawa aku mempunyai Somatic OCD – Breathing yang sehingga kini masih tidak dapat hilang dalam pemikiran aku. 

Aku masih berusaha untuk keluar dari kecelaruan mental ini walaupun hakikat di dalam diri ini hanya Tuhan sahaja yang tahu bahawa aku ingin sembuh. Pelbagai inisiatif dan rawatan telah aku lakukan. Hidup pula penuh serba tidak kena, kerisauan, overthinking, penuh pertanyaan di dalam kepala sehingga bercelaru. Menjadi pesakit di bawah kecelaruan mental, ternyata bukan mudah tetapi tidak mustahil untuk mengubahnya sekiranya mendapat ilmu dan bimbingan daripada orang yang tepat dan bertauliah di dalam bidangnya. Ini kerana cabaran yang paling besar adalah dari pemikiran aku sendiri. 

Antara cabaran yang sering aku hadapi adalah rasa tidak bersemangat dan tidak bermotivasi. Fikiran atau suara negatif sentiasa bermain di dalam kepala. Apabila di tempat kerja pula aku merasakan alangkah indahnya aku berada di rumah supaya aku dapat rehat yang cukup kerana kesan terhadap fizikal seperti sakit belakang yang menyebabkan aku rasa ingin baring sentiasa. Niat di hati ingin melakukan tarawih di masjid dengan niat aku ingin mengutip pahala, tetapi aku sentiasa rasa tidak bersemangat dan akan timbul persoalan di dalam kepala “Adakah ibadah aku ini diterima oleh Tuhan?”. 

Aku sentiasa merasakan aku jauh dengan Tuhan kerana aku tidak dapat menjadi yang terbaik. Aku berasa Tuhan seperti menghukum aku kerana aku tidak dapat membuat ibadah yang terbaik, istiqamah dan sebagainya. Apabila anzieti aku mula datang, aku akan mula rasa takut untuk beribadah pula. Aku juga berasa ingin mengelak dari berjumpa dengan jiran atau saudara mara supaya mereka tidak tahu apa yang aku lalui. Tekanan di tempat kerja juga faktor penyumbang kepada cabaran bagi aku kerana terpaksa berpura-pura bersikap profesional.

Namun, setelah aku amati perjalanan hidup aku sendiri, banyak perubahan positif yang telah aku alami kerana aku ketemu orang yang tepat dan bertauliah dalam bidangnya untuk mengurus kecelaruan mental yang aku hadapi. Bagi situasi aku ini, hanya beberapa pendekatan sahaja yang digunapakai bagi mengurus rutin aku termasuklah di bulan Ramadan dan hari perayaan. 

Pertama, aku sentiasa membawa buku nota dan pena. Aku mencatat tugas atau aktiviti yang perlu atau boleh dilakukan sepanjang hari ini dan esoknya supaya aku tahu terdapat tugas yang perlu aku lakukan dan perlu diisi masanya. Secara tidak langsung melatih mengurus masa dan mengelak daripada sikap bertangguh yang lama. Malah, mengisi kekosongan daripada terlalu banyak berfikir dan perbanyakkan tindakan. 

Keduanya, interaksi sosial dengan sesiapa sahaja antara perkara yang membantu meningkatkan mood aku semula kerana aku sedar hubungan sosial tidak boleh dipandang enteng kerana ianya adalah keperlu andan fitrah sebagai manusia untuk saling melengkapi. Pada awalnya aku berasa terpaksa, lama-kelamaan sudah terbiasa.

Aku sedar bahawa pesakit kecelaruan mental ini terdapat limitasinya dari segi tindakan, namun aku mulakan langkah yang kecil dan sedikit supaya tiada perasaan terbeban untuk melakukannya. Sekiranya aku berasa penat, aku rehat. Satu perkara yang aku percaya, Tuhan itu melihat langkah yang kecil dan sedikit. Sedikit lama-lama jadi bukit. Apabila aku melihat semula apa yang aku lakukan sebelum ini, ternyata banyak perubahan positif yang telah aku lakukan tanpa aku sedar. 

Aku berasa puas kerana hasil tersebut hanya bermula daripada sebuah tindakan.

 

– Faraz –

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shopping Basket
Scroll to Top