Ramadan Pertama Bersama Depresi

Pertengahan Ramadan 2023 itu merupakan kali pertama Nur bertemu dengan pakar psikiatri, yang mana pada akhirnya, dia berjaya mengumpul seluruh kekuatan untuk berhadapan dengan raksasa yang telah menyerang hidupnya sejak setahun yang lalu. Ya, memang agak terlambat, namun lebih baik terlambat sedikit daripada langsung menidakkan kesakitan yang wujud, kan?

Dalam tempoh sebelum Nur memberanikan diri berjumpa pakar psikiatri, Nur telah mencuba pelbagai alternatif lain, termasuk berjumpa kaunselor percuma dan berbayar, serta bertemu psikologis klinikal berdaftar secara dalam talian. Namun anhedonia tetap menghantuinya. Dirinya yang sebelum ini adalah seorang gadis yang aktif dan ceria, kini berwajah muram dan kelam. Kesedihan menghuni jiwanya.

..

”Cara awak atasi ni dah cukup baik, tapi disebabkan simptom yang awak alami ni dah cukup lama, kami bagi ubat ya?” Doktor Aisyah memujuk sambil memandang wajah sedih Nur. Nur hanya mengangguk perlahan. Dia tahu, sejak menjejakkan kaki ke klinik psikiatri itu lagi dia telah mempersiapkan diri untuk mendapat perkhabaran tersebut. ’Awak memang perlukan ubat, segala terapi dah tak dapat membantu,’ getus hati Nur.

Seusai pertemuan bersama doktor pakar psikiatri, Nur diminta untuk ke farmasi bagi mengambil ubat. Sambil berjalan, Nur mengerling ke arah slip ubat yang diberikan. ’MDD’. Itu adalah tiga huruf yang tertera pada ruangan diagnosis. Manakala di ruangan ubatnya adalah Brintellix dan Lorazepam. Nur mengeluh perlahan. Antara lega dan takut, saling berganti rasa. Lega kerana akhirnya mendapat tahu dirinya sememangnya sakit, bukan sekadar malas atau mengada-ngada. Dan takut, kerana perlu mengambil ubat psikiatri pertamanya, pada bulan Ramadan.

Ramadan itu juga merupakan kali pertama Nur berpuasa sendirian. Tiada lagi rakan sebilik, tiada ibu bapa mahupun ahli keluarga yang lain. Hanya dirinya, bersama Major Depressive Disorder (MDD) dan ubat psikiatri.

Nur, seorang yang sentiasa positif dan ceria, tidak terkecuali untuk mendapat depresi. Ternyata, depresi juga seperti Covid 19, dan mana-mana sakit fizikal yang lain. Sesiapa sahaja mungkin terkena, walaupun seorang periang dan baik hati.

Hari pertama mengambil ubat psikiatri, berjalan dengan lancar. Rasa hiba dan kelam masih menyelubungi dirinya. Sekurang-kurangnya, tiada kesan sampingan yang teruk. Masih merasa takut untuk keluar rumah, Nur hanya memesan makanan menggunakan aplikasi yang ada di telefon pintarnya. Mujurlah dia menyewa di kawasan yang senang di akses, dan bukan tinggal di apartment. Maka, setiap kali memesan makanan, dia memastikan penghantar makanan sudah meletakkan makanan di pagar, barulah dia keluar dari bilik dan mengambil makanan tersebut. Untuk sahur, dia hanya minum air kosong dan makan kurma. Ringkas.

Bangun seawal 5.30 pagi, kemudian bersahur dan subuh, Nur bersenam ringkas di dalam biliknya. Hanya agar tidak merasa terlalu lemau. Kemudian ke menuju ke meja belajar. Brintellix ternyata memberi kesan yang baik untuknya. Sekurangnya, dirinya dapat fokus buat seketika.

Ada hari yang dia telah berjaya mengatasi rasa takut untuk berhadapan dengan dunia luar, maka dirinya mengambil keputusan untuk membeli barang dapur, setelah berjaya memasak nasi. Mungkin, bagi orang lain, memasak nasi itu adalah suatu urusan yang sangat mudah. Tetapi, bagi Nur, itu adalah sebuah kejayaan yang besar buat dirinya. Rasa terharu, rasa gembira.

Ibadah puasa yang sebelum ini biasa untuk dirinya, terasa sedikit mencabar. Disebabkan tidak dapat keluar rumah kerana merasa takut berjumpa orang, Nur hanya mampu solat tarawih di biliknya. Ada hari, dia berjaya solat lapan rakaat. Ada hari, hanya mampu solat dua rakaat. Kemudian terbaring di atas sejadah, menangis, sambil cuba untuk melawan anxiety yang datang menerpa, perasaan ingin mati yang muncul tiba-tiba, serta rasa untuk mencederakan diri kunjung tiba. Dia cuba untuk berlapang dada. Ramadan itu, seketul Nur Jannah, merasa seolah-olah dirinya adalah insan yang paling berduka, paling hina, kerana tidak mampu beribadah dengan baik. Namun kemudian cepat ditepis segala rasa itu, kerana dirinya tahu, Allah tidak hanya melihat pada hasil mahupun berapa banyak ibadahnya pada ketika itu, namun Allah pasti sudah tahu berapa banyak usahanya untuk menjadi seorang insan yang berfungsi sebaiknya sewaktu sedang sakit itu.

”Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil) dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” Surah Al Baqarah. Ayat 195.

Ramadan itu, Nur benar-benar menghayati bagaimana rasanya menjadi insan yang lemah dan memerlukan Tuhannya yang Agung, Pencipta Segala Sesuatu, yakni sebagai Abdullah, ataupun Hamba Allah.

Raya.

Nur telah kembali ke bandar selepas seminggu beraya di kampung. Merasakan dirinya lebih baik daripada sebelum, dia cuba untuk mengisi masanya dengan perkara yang menggembirakan hati.

“Jom, sesiapa berdekatan, datang raya ke rumah saya.”

Nur melihat siaran Facebook seorang kenalan, rupanya tinggal berdekatan rumah sewanya.

“Hai, saya lapang waktu tu. Boleh bagi lokasi rumah? Nanti saya datang raya.”

Mesej dihantar. Tidak lama kemudian, dia mendapat balasan daripada kenalan tersebut. Lokasi rumah yang hanya lima belas minit dari rumah sewanya, Nur gembira. Dia teruja untuk berjumpa dengan kenalan itu. Seorang figura yang dia ikuti, akhirnya dapat berjumpa.

..

Tiba hari yang dijanjikan, Nur merasa sangat penat. Simptom keresahan kembali. Dia tidak senang duduk. Terasa seperti cacing kepanasan. Jam menunjukkan waktu yang hampir dengan janjinya bersama kenalan itu. Akhirnya, dia pasrah. Terpaksa membatalkan niatnya untuk beraya di rumah kenalan itu. Mujur sahaja kenalan itu berlapang dada. Kalau sahaja mampu dikira, entah berapa janji yang terpaksa dimungkiri. Hanya kerana depresi. Semoga, mereka tidak terasa hati, kerana tidak semua tahu Nur menghidap MDD.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shopping Basket
Scroll to Top